PH ambil segala langkah perlu siap sedia hadapi PRN Johor

Bernama
Januari 23, 2022 18:18 MYT
Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengambil segala langkah yang perlu sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengambil segala langkah yang perlu sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama hari ini berkata namun, PH Johor tetap dengan pendirian bahawa ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya diadakan kerana rakyat masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya.
"Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik. Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?" menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.
Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, Barisan Nasional memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan "ihsan pembangkang".
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri semalam bagi memberi laluan untuk PRN diadakan.
-- BERNAMA
#Pakatan Harapan #PRN Johor #Amanah #PKR #DAP
;