PH akui kelemahan, seru kerjasama parti pembangkang hadapi PRU15
Afiezy Azaman
Mac 16, 2022 10:56 MYT
Mac 16, 2022 10:56 MYT
KUALA LUMPUR: Parti-parti pembangkang tidak seharusnya bertanding hanya di kawasan Pakatan Harapan (PH) yang akan mengurangkan undi gabungan itu dan secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional (BN).
Majlis Presiden PH berkata demikian mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu yang menyaksikan gabungan itu hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, PH akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak BN.
"Majlis Presiden PH menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan PH memenangi 12 kerusi.
"PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh," katanya.
Mengulas lanjut, PH berkata, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan gabungan parti itu untuk menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya, serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15.
"Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19.
"Ia termasuk isu prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta kehimpitan hidup rakyat.
"Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang," katanya.
Majlis Presiden turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini sepertimana yang dijanjikan Perdana Menteri.
"Pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat," tambahnya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.