PH akan hilang kredibiliti jika terima 4 ADUN - Ramkarpal Singh
Abd Azharee Abdul Wahid
Oktober 23, 2021 12:50 MYT
Oktober 23, 2021 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan akan hilang kredibiliti sekiranya menerima empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik diri dari kerajaan negeri Melaka yang juga telah mencetuskan krisis politik yang tidak diingini di Melaka.
Kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, perkara itu harus dihindari dengan segala cara memandangkan PH mempunyai komitmen undang-undang antilompat parti berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama kerajaan baru-baru ini.
Kata Ramkarpal dalam satu kenyataan media, adalah tidak sesuai sekiranya PH menerima 4 ADUN tersebut dan dalam masa yang sama mendesak undang-undang anti lompat parti.
“Keempat-empat adun boleh bertanding secara bebas.
“Sekiranya dibenarkan bertanding di bawah panji PH ia dilihat akan menggagalkan usaha PH berkenaan undang-undang anti lompat parti dan mengundang kecaman ramai,” katanya.
Tegas Ramkarpal lagi, PH juga tidak boleh dilihat bersubahat dalam tindakan mereka sekaligus boleh merugikan PH dalam pilihan raya umum akan datang juga.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PH telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk bekerjasama dengan keempat-empat ADUN tersebut.
Isu itu juga dikatakan menyebabkan ketegangan tercetus dalam gabungan itu.
Kenyataan ini dibuat susulan terdapat spekulasi bahawa PH akan menerima keempat-empat ADUN tersebut - bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) - sebagai calon mereka dalam pilihan raya negeri Melaka.