PH akan buat post-mortem kenal pasti faktor kekalahan Kimanis - Tun M
Adie Sufian Zulkefli
Januari 18, 2020 00:11 MYT
Januari 18, 2020 00:11 MYT
Kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berlaku kerana rakyat di negeri itu belum merasai kebaikan pemerintahan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).
Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, PH akan melakukan 'post mortem' bagi menentukan faktor kekalahan dan mengetahui sebab rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan ketika ini.
“Saya rasa rakyat Sabah mungkin belum merasai kebaikan pemerintahan Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Rakyat DUN Anak Bukit, di Dewan Orang Ramai Taman Bersatu, di sini, Sabtu malam.
Jelas Dr Mahathir, Warisan masih baharu di negeri itu dan mereka harus diberi masa dan peluang untuk membuktikan pembaharuan yang akan dilakukan di negeri yang kaya dengan hasil pertanian itu.
Menurutnya, PH tidak perlu menyalah mana-mana pihak dan harus menerima kekalahan ini dengan terbuka.
“Orang Sabah, mereka belum merasa kebaikan daripada pemerintahan baru kerana segala yang kita lakukan mengambil masa macam kita buat dasar baru untuk pertanian, tak boleh buat hari ni, esok dah dapat hasil… (ia) akan ambil masa dan saya yakin lama- kelamaan rakyat Sabah akan sedar bahawa mereka akan dapat pemerintahan yang lebih baik kerana Warisan berkuasa,” katanya lagi.
Ditanya sama ada kekalahan itu memberi tekanan kepada PH, Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui perkara tersebut.
Katanya, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kerana ini sudah menjadi tanggungjawab beliau serta rakan lain untuk memikirkan langkah seterusnya ke arah memenangi hati rakyat yang terluka.
Dr Mahathir percaya Sabah di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, akan terus meningkatkan usaha membangunkan negeri itu.
Terdahulu, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas mendapat 2,029 majoriti dalam PRK Kimanis.
Calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, mendapat 12,706 manakala calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, 66, memperoleh 10,677 undi.
#Kimanis Memilih
#Mahathir Mohamad
#Parti Warisan Sabah
#Perdana Menteri
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#Warisan