PH akan bincang pembahagian kerusi, fokus pada 52 kerusi ditandingi Bersatu
Ridauddin Daud
Ogos 13, 2022 21:39 MYT
Ogos 13, 2022 21:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) setakat ini masih belum membincangkan pembahagian kerusi melibatkan parti dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, fokus akan diberi kepada 52 kerusi yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU14.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa PKR akan bertanding di semua kerusi yang pernah dimenanginya dalam PRU14 termasuk Parlimen Gombak, Tebrau, Ampang, Batu Pahat dan Segamat.
“Ini kerusi-kerusi yang kita menang dulu. Maka PKR akan terus bertanding di kerusi ini. Sekarang kita perlu bincangkan dalam PH ialah baki 52 kerusi yang dulu ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apakah prinsip yang akan kita pegang untuk pembahagian kerusi dan seterusnya fokus kepada Sabah dan Sarawak. Saya lihat proses itu masih berjalan.
“Walaupun ada war-warkan bulan Oktober pilihan raya, saya lihat perbicangan makin rancak dalam kalangan kepimpinan dan tidak mustahil dalam masa terdekat kita akan buat apa-apa pengumuman yang bersesuaian dengan keadaan politik semasa,” katanya.
Ketika ditanya adakah ruang untuk MUDA bersama PH, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak menolak kemungkinan wujudkan kerjasama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
PKR pada PRU14 memenangi kerusi Parlimen Ampang, Gombak, Tebrau, Batu Pahat dan Segamat namun wakil rakyatnya keluar parti pada Februari 2022 dan menyertai Bersatu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri program pencarian kerja anjuran The Ascott Limited (Ascott) di Block 92, Apartmen Putra Ria di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fahmi menyambut baik usaha Ascott yang datang ke kawasan perumahan B40 dan menawarkan peluang pekerjaan buat penduduk di sana.
Tambahnya, beliau berharap lebih banyak syarikat dapat melakukan inisiatif sebegitu yang dilihat efektif dan lebih memudahkan pencari kerja di luar sana.