PH 13, BN 13, parti mana tadbir Melaka?

Fareez Azman
Februari 26, 2020 19:39 MYT
Jika dicongak, Barisan Nasional (BN) kini memiliki jumlah kerusi yang sama seperti PH iaitu 13 kerusi. - Gambar fail/BERNAMA
Susulan kemelut politik yang melanda tanahair, beberapa negeri turut dilihat menerima impaknya termasuk di Melaka.
Tinjauan Astro AWANI di Kompleks Seri Negeri yang juga merupakan pusat pentadbiran negeri berjalan seperti biasa dengan melihat kehadiran Ketua Menterinya Adly Zahari.
Bagaimanapun, jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pakatan Harapan (PH) kini telah menjadi 13 kerusi apabila dua kerusi dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama gabungan itu sejurus pengumuman oleh presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.
Jika dicongak, Barisan Nasional (BN) kini memiliki jumlah kerusi yang sama seperti PH iaitu 13 kerusi.
Menurut Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah, ketegangan politik di antara dua blok parti itu perlu disegerakan penyelesaiannya.
"Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, mereka masih lagi dalam keadaan tidak stabil untuk memimpin negeri ini, kerana kerusi DUN yang mereka ada itu setara iaitu 13-13. Hanya pemutus atau pengimbang tara dua kerusi dari Bersatu.
"Tuan Adly (Ketua Menteri) telah melakukan yang terbaik tanpa diganggu oleh pembangkang, mereka (BN) sangat matang, tetapi jika BN mengambil alih pucuk pimpinan di Melaka adalah PH akan menyokong?
"Adakah Bersatu mahu memberi peranan kepada Ketua Menterinya? Adakah ia akan direstui dua ADUN Bersatu itu?,"katanya
Jika melihat kepada landskap politik Melaka, jelasnya PH yang diterajui ADUN Bukit Katil, Adly Zahari itu mendapat sokongan blok pembangkang sepanjang pemerintahannya selama 22 bulan.
"Menarik sekali, kerajaan negeri mahu digulingkan pihak tertentu tetapi mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberi sokongan kepada Adly Zahari dan mereka tidak gelojoh.
"Sebelum ini, beliau berkata tidak ada keperluan menjatuhkan Ketua Menteri Adly Zahari, tetapi ketika ini ia bergantung kepada apa yang berlaku di Putrajaya," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
BACA: 'Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia' - Tun M
BACA: Adly Zahari minta rakyat Melaka bertenang
Jika perkara itu berterusan ujar Muhammad Anwar, kemelut politik negeri Melaka boleh berakhir tanpa merujuk di peringkat pusat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka sekaligus demi untuk mengakhiri kemelut politik negeri itu.
Namun tambahnya, ia memerlukan jiwa besar setiap ADUN yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti dan kuasa.
Sehingga kini, Adly dalam beberapa kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan negeri Melaka masih di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.
#Adly Zahari #Barisan Nasional #Bersatu #kerusi DUN #Ketua Menteri #Ketua Menteri Melaka #Melaka #Pakatan Harapan
;