Pewujudan Tabung Pendidikan Armada diharap diluluskan

Rahimah Abdullah
Disember 30, 2018 12:38 MYT
Pembiayaan kewangan pendidikan itu penting bagi membantu mahasiswa, terutama ahli Armada untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. - Foto Astro Awani
Armada Bersatu akan membawa usul mewujudkan Tabung Pendidikan Armada ke peringkat tertinggi parti.
Menurut Exco Armada Bersatu (Biro Perhubungan Antarabangsa), Mohd Muzzamil Ismail, cadangan usul itu selari dengan hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkasa anak muda.
Katanya, pembiayaan kewangan pendidikan itu penting bagi membantu mahasiswa, terutama ahli Armada untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.
"Tabung itu kini dalam bentuk usul dan akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincangkan mengenai beberapa perkara.
"Contohnya tentang bagaimana sumbangan akan diberikan, bagaimana ia akan dilaksanakan dan adakah kita akan menghantar mereka hingga ke peringkat PhD (Ijazah Doktor Falsafah)," katanya semasa ditemui di Pusat Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hari ini masuk hari ketiga Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 diadakan, yang mana lebih 1,600 perwakilan seluruh negara bersidang sejak Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Muzzamil turut menyuarakan keperitan mahasiswa yang berada di luar negara yang berdepan kekangan ruang terhad untuk meneruskan pelajaran lebih tinggi.
"Seperti yang kita tahu, jumlah biasiswa yang disediakan amatlah terhad. Walaupun ada PTPTN, kosnya lebih tinggi berbanding waktu saya membuat PhD pada 2016.
"Pada masa sama, tujuan tabung ini adalah untuk membantu ahli Armada sambung pengajian kerana mereka tiada ruang.
"Jadi kita mahu beri nafas baru untuk mereka belajar atau pergi ke peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana dan PhD. Jadi, usaha mewujudkan tabung ini akan banyak membantu mereka," tambahnya.
Ketika ini, Kelab Bunga Raya dianggotai mahasiswa yang berada di 10 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Indonesia dan New Zealand.
Dalam ucapan dasarnya semalam, Dr Mahathir berkata generasi muda akan diberi layanan istimewa menerusi bidang pertanian dan perniagaan.
Kata Perdana Menteri ini disebabkan anak muda lebih menguasai teknologi terkini, selain terlatih dan berpelajaran berbanding generasi lama.
#Exco Armada Bersatu #Mahathir Mohamad #Mohd Muzzamil Ismail #PATBersatu2018 #perhimpunan #PPBM
;