Perwakilan PAS guna doa 'bantai' pemimpin

Irwan Muhammad Zain
September 19, 2014 14:27 MYT
Tindakan Dr Azhari itu tidak disenangi perwakilan lain dan menganggap ia keterlaluan serta menyalah gunakan doa.
Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan, Dr Azhari Ariffin menggunakan doa untuk 'membantai" pemimpin tertentu dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 hari ini.
Dr Azhari yang sepatutnya membahaskan ucapan dasar Presiden meminta semua yang ada dalam dewan muktamar untuk bersama beliau menadah tangan melakukan doa munajat.
Beliau turut menyerang dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor yang disifatkan sebagai dua titik nila yang telah merosakkan sebelanga susu.
Doa panjang lebar Dr Azhari yang hampir 30 minit itu mendapat teguran Pengerusi Tetap Muktamar, Datuk Abu Kassim Abdullah.
Tindakan Dr Azhari itu tidak disenangi perwakilan lain dan menganggap ia keterlaluan serta menyalahgunakan doa.
Perwakilan Kedah, Ridzwan Abu Bakar yang tidak berpuashati mendesak pengerusi tetap agar membuat ketetapan agar supaya tidak ada lagi yang menggunakan sesi perbahasan untuk mendoakan kehancuran pemimpin tertentu.
Ini merupakan kali pertama doa kehancuran dibacakan untuk pemimpin PAS sendiri.
Beberapa tahun lepas, Nik Radzi Nik Mat yang juga adik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendoakan kecelakaan terhadap sesama Islam khususnya membabitkan UMNO.
#Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor #Dr Azhari Ariffin #Muktamar Tahunan PAS ke-60 #Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan
;