Peruntukan sama rata jika BN menang di DUN Hutan Melintang, Rungkup

Abd Razak Mohd Ali
April 30, 2018 07:27 MYT
Ahmad Zahid menyampaikan amanatnya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk dan Petugas Jalinan Rakyat Kenduri Sekampung di Perkarangan Rumah Haji Jumari Kampung Badri malam tadi. --fotoBERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan menyerahkan peruntukan RM6 juta sebagai Ahli Parlimen sama rata kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang dan DUN Rungkup jika kedua-dua kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda penghargaannya kepada rakyat Bagan Datuk yang terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus berkuasa di situ.
Menurut beliau, sekiranya calon BN di DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi menang, mungkin ramai bertanya apa manfaat yang boleh diperolehi di peringkat cawangan dan di kalangan rakyat di situ.
"Jangan risau, sebagai Ahli Parlimen, saya mendapat peruntukan RM6 juta setahun, saya akan bagi peruntukan RM3 juta kepada Hutan Melintang dan RM3 juga untuk Rungkup.
"Kalau setahun RM3 juta, maka kalau dihitung selama lima tahun, maka setiap DUN akan memperolehi RM15 juta, jadi bolehlah mereka gunakannya untuk bantu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra bersama penduduk dan petugas Jalinan Rakyat dan kenduri kampung cawangan Kampung Badri di sini malam tadi, yang turut dihadiri Khairuddin.
Katanya, wang dari peruntukan beliau itu boleh digunakan untuk melaksanakan projek-projek kecil manakala projek besar akan menggunakan peruntukan lain.
Sementara itu, kempen yang masuk hari ketiga malam tadi turut menyaksikan Ahmad Zahid menggunakan hampir 70 peratus ucapannya dalam bahasa Jawa.
PRU14 pada 9 Mei ini akan menyaksikan Ahmad Zahid dicabar calon PKR, Datuk Pakhrurrazi Arshad dan calon Pas, Datuk Ata Abdul Muneim Hasan Adli di Parlimen Bagan Datuk.
Khairuddin pula akan berdepan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki dan Manivanan Govind (PKR) di DUN Hutan Melintang.
Sementara itu, di DUN Rungkup, penyandang dari BN Datuk Shahrul Zaman Yahya akan ditentang Mohd Mokheri Jalil dari Pas.
#Ahmad Zahid Hamidi #Bagan Datuk #Barisan Nasional #DUN #Hutan Melintang #MalaysiaMemilih #Parlimen #peruntukan #projek #PRU14 #Rungkup
;