Peruntukan RM1 juta hanya untuk Ahli Parlimen - Idris Haron

Raffi Bachik
Ogos 18, 2015 00:47 MYT
Idris yang juga Ketua Menteri Melaka, menjelaskan hanya ahli parlimen di setiap kawasan diberikan peruntukan berkenaan sebagai dana perbelanjaan pembangunan.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron menafikan dakwaan pemberian satu juta ringgit kepada setiap Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara baru-baru ini.
Idris yang juga Ketua Menteri Melaka, menjelaskan hanya ahli parlimen di setiap kawasan diberikan peruntukan berkenaan sebagai dana perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, wang itu juga tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh ahli parlimen.
"Yang saya tahu ahli-ahli parlimen dapat dalam bentuk peruntukan untuk bangunkan kawasan, buat bus stop. Perbelanjaan pantau secara rapat.
"Saya pernah disiasat perbelanjaan satu persatu setiap sen mana yang wang itu dibelanjakan setiap ahli parlimen tidak sewenang-wenangnya belanja wang. Itu prosedur, peraturan kewangan mesti dipatuhi," katanya di sini pada Selasa.
Idris turut menyarankan agar setiap parti perlu mengisytiharkan dana politik yang diterima oleh mana-mana pihak demi memberi ketelusan kepada rakyat.
Katanya, usaha itu amat perlu supaya ada keadilan kepada semua parti, selepas UMNO didesak mengiystiharkan dana politik yang diterimanya.
#idris haron #majlis tertinggi #Melaka #UMNO
;