Peruntukan pembangkang: Segera jumpa TPM, tidak tertib adu dalam sidang media - Fahmi

Irfan Faruqi
September 3, 2024 17:39 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengadu mengenai draf Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan ahli Parlimen pembangkang dalam sidang media adalah langkah tidak tertib.

Ringkasan AI
  • Langkah Tidak Tertib: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa tindakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengadu mengenai draf Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam sidang media adalah tidak tertib.
  • Cadangan Rundingan: Fahmi mencadangkan agar PN belajar daripada Pakatan Harapan (PH) dengan segera mengadakan rundingan untuk membincangkan sebarang penambahbaikan dalam deraf MoU tersebut.
  • Isu 3R dalam MoU: Takiyuddin mempersoalkan mengapa isu Raja, agama, dan kaum (3R) dimasukkan dalam MoU berkaitan peruntukan buat ahli Parlimen pembangkang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, PN perlu belajar daripada Pakatan Harapan (PH) dengan segera mengadakan rundingan bagi melontarkan sebarang penambahbaikan dalam draf MoU terbabit.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyatakan ini (Perjanjian Persefahaman Peruntukan Pembangkang) ialah draf. Datanglah jumpa, sampaikan pandangan, kita boleh bincang.
“Kalau dia (Takiyuddin) hendak mengadu secara terbuka seperti itu, dia patut belajar daripada cara kami (Pakatan Harapan) lakukan. Kami uruskan dengan cukup tertib, baik dan tersusun.
“Akhirnya, kestabilan dapat dicapai. Peruntukan diperoleh. Malah lebih penting daripada itu, sejumlah reformasi yang diharapkan berjaya kami laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan pada Selasa.
Jumpa segera dengan DS Fadillah, bincang dengan tertib - Fahmi
Pada Isnin, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata Pembangkang masih berbincang sama ada mahu menerima atau tidak MoU berkaitan peruntukan buat ahli parlimen pembangkang.
Menurutnya, masih terdapat beberapa syarat dalam MoU itu yang perlu diperhalusi sebaik mungkin.
Bahkan, beliau turut mempersoalkan mengapa isu Raja, agama dan kaum (3R) turut dimasukkan dalam memorandum tersebut.
#Fahmi Fadzil #Kerajaan Perpaduan #MoU #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #peruntukan ahli parlimen