Peruntukan besar Kerajaan Pusat bukti kemajuan Langkawi tidak terbantut - Nawawi

Wan Syamsul Amly
April 27, 2018 20:47 MYT
Penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata, pelbagai peruntukan yang dijanjikan Kerajaan Pusat menjadi bukti kawasan itu tidak pernah dipinggirkan. - Foto Astro AWANI / Wan Syamsul Amly
Pembangunan di Langkawi akan terbantut seandainya pembangkang mengambil alih Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata, pelbagai peruntukan yang dijanjikan Kerajaan Pusat menjadi bukti kawasan itu tidak pernah dipinggirkan.
Jelasnya, jumlah peruntukan kemodenan di Langkawi juga disifatkan melebihi beberapa negeri di Semenanjung.
"Jadi tuduhan kata pembangunan terbantut itu tidak benar sama sekali, kami hari-hari di sini.
"Mungkin orang lain datang sebulan sekali, mereka tidak rasa dan nampak kemajuan di sini. Kalau ada orang hendak ambil Parlimen Langkawi dan kata dapat bawa kemajuan, itu tidak benar.
"Semua pembangunan Langkawi di bawah Kerajaan Pusat. Kalau Langkawi di bawah pembangkang, kemungkinan besar peruntukan itu di bawa ke tempat lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nawawi mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan (PH) Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kemajuan di sana terbantut selepas dia tidak lagi menjadi perdana menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Langkawi.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang- Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta).
Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU13 lima tahun lalu.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menegaskan, BN negeri itu tidak gentar berdepan Dr Mahathir mahupun anaknya Datuk Seri Mukhriz di Langkawi dan Jerlun.
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Barisan Nasional #Kedah #Langkawi #Mahathir Mohamad #Malaysia #Menteri Besar #Najib Razak #Nawawi Ahmad #Pakatan Harapan #Parlimen #pembangkang #pilihan raya umum #PKR #PRU13 #Tun Dr Mahathir Mohamad #UMNO
;