Peruntukan bersyarat kepada wakil rakyat pembangkang - Nga Kor Ming
Bernama
April 18, 2024 18:47 MYT
April 18, 2024 18:47 MYT
HULU SELANGOR: Peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat, kata Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keputusan itu yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan semalam, bagaimanapun belum lagi membincangkan mengenai syarat-syarat tersebut.
"Peruntukan (kepada wakil rakyat pembangkang) itu diberi tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dibincangkan.
"Kita perlukan pembangkang bertanggungjawab dan bukan asyik hanya memainkan isu sentimen tidak membina yang merugikan negara kita," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.
Terdahulu hari ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya, semalam.
Sehubungan itu, Fadillah berkata satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai desas-desus DAP akan mengemukakan calon berbangsa Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, Nga berkata kaum apa sekali pun yang diketengahkan parti itu, tidak seharusnya dijadikan isu.
"Tunggu tarikh (pengumuman calon)...kita jangan mainkan isu, yang penting bagi saya tidak kira mana-mana kaum, semua anak kita. Yang penting calon itu dapat berkhidmat, berbakti dan bekerja kepada warga Kuala Kubu Bharu," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.
Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
-- BERNAMA
#peruntukan wakil rakyat pembangkang
#Nga Kor Ming
#bersyarat
#Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan