Pertukaran kerusi antara MCA dan UMNO atas semangat setiakawan - Liow

Bernama
April 22, 2018 14:56 MYT
LIOW: Yang paling penting kita ada petunjuk wakil dari parti mana ada potensi lebih besar untuk menang di kawasan itu. - Gambar fail
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pertukaran kerusi antara MCA dan UMNO untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU) ini diputuskan atas semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata keputusan itu juga dibuat juga dengan mengambil kira potensi calon dan parti untuk merampas semula kerusi itu daripada pembangkang.
Liow berkata demikian selepas mengesahkan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen Ampang dan sebagai ganti UMNO yang bertanding di kerusi tersebut pada PRU13 diberikan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang sebelumnya ditandingi MCA.
"Tukar kerusi biasa... yang paling penting kita ada petunjuk wakil dari parti mana ada potensi lebih besar untuk menang di kawasan itu.
"Kalau kita yakin bahawa UMNO boleh menang di sesuatu kawasan, kita boleh bincang berhubung pertukaran kerusi dan begitu juga jika sebaliknya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Galeri Karak di sini, hari ini.
BN Wilayah Persekutuan hari ini mengumumkan calon UMNO Adnan Abdul Seman, seorang peguam yang juga muka baharu akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, kerusi yang sebelum itu adalah kuota MCA.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau dan kepimpinan tertinggi BN yakin MCA mampu memberi cabaran kuat kepada PKR di kerusi Parlimen Ampang sejak dua PRU sebelum ini.
Kerja-kerja menarik sokongan pengundi kepada BN telah lama dilakukan, malah dengan bilangan pengundi Cina yang ramai, kita yakin akan mendapat sokongan lebih baik berbanding PRU yang lalu, katanya.
Terdahulu, Liow dalam ucapannya berkata Galeri Karak yang inisiatif penubuhannya digerakkan komuniti setempat bakal menjadi tarikan baharu ke daerah itu melalui pameran lukisan, aktiviti seni dan kebudayaan yang dijalankan, sekaligus mewujudkan persekitaran kondusif yang memberi manfaat kepada banyak pihak.
Beliau berkata walaupun kewujudan galeri yang beroperasi di tingkat atas bangunan dua tingkat Pasar Awam Karak itu digerakkan masyarakat umum dan badan-badan kebudayaan tempatan tetapi pembangunannya turut dibantu kerajaan melalui Majlis Daerah Karak dan Balai Seni Visual Negara (BSVN).
"Malah saya selaku (penyandang) wakil rakyat Bentong turut berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang akhirnya bersetuju memperuntukkan RM20,000 bagi tujuan menceriakan galeri dan pasar awam ini," katanya.
-- BERNAMA
#Bandar Tun Razak #Barisan Nasional #Liow Tiong Lai #MalaysiaMemilih #MCA #Parlimen Ampang #politik #UMNO
;