'Pertukaran kerajaan tak ganggu kemasukan pelabur' - Razman

Amirrul Rabbani
Mei 22, 2023 15:54 MYT
Razman (duduk, tiga dari kiri) ditemui dalam sidang media bersempena dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh pada Isnin. - Foto Astro AWANI
IPOH: Perubahan tampuk pentadbiran di mana-mana kerajaan negeri bukan sesuatu yang asing sebaliknya ia disifatkan sebagai perkara biasa dalam negara ini, kata Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata justeru isu pertukaran pemerintahan di peringkat negeri tidak ada kaitan dengan soal gangguan kepada kestabilan dan kemasukan pelabur.
“Proses pertukaran kerajaan dalam negara ini merupakan perkara biasa. (Jika ia) untuk kestabilan politik, adakah lima tahun akan datang, kita tak mahu tukar kerajaan yang ada sekarang?
“Dan sebelum ini pun pernah berlaku berbagai-bagai pertukaran kerajaan, malah di Perak sendiri pun berlaku pertukaran kerajaan dan menteri besar.
“Pada penggal yang lepas sekalipun, kita sampai berlaku pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali. Jadi apakah dahulu kita tidak memikirkan soal kestabilan dan juga kemasukan pelabur itu?
“Justeru, biasanya (dalam soal) pelabur ni dia tidak berkaitan (dalam hal pertukaran kerajaan sebaliknya ia hanya) proses politik yang biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media bersempena dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Isnin.
Razman sebelum itu mengulas berkenaan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyifatkan khabar angin ada usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan di Perak itu dikhuatiri akan mengganggu kemasukan pelabur ke negeri itu.
Pada Ahad, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol itu mendakwa terdapat beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa Kerajaan Perak akan tumbang.
Ketika diminta ditanya pemberita tentang dakwaan berkenaan, Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu enggan mengulas dan tidak mendedahkan nama ADUN Kerajaan yang bertemu dengannya.
Sebaliknya beliau berkata perjumpaan dengan ADUN-ADUN kerajaan hanyalah pertemuan biasa seperti ketika menghadiri kenduri-kendara dan sebagainya.
“(Yang jumpa dengan saya itu) Itu ramai. (Apa-apa pun) tanya Muhamad Arafat (ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha PN Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menegaskan desas-desus perubahan tampuk pentadbiran di negeri itu bukan bermula daripada pihaknya.
Sebaliknya beliau berkata kesemua ADUN pembangkang ketika ini hanya menjalankan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat tanpa menimbulkan dakwaan berkenaan.
“Saya ada ramai rakan ahli UMNO dan DAP. Jadi, perjumpaan dan bertemu sambil bersembang di mana-mana itu adalah perkara biasa.
“Akan tetapi, jangan spekulasikan ia dengan mendakwa perkara berkenaan bermula daripada kami. Siapa yang timbulkan isu ini? Kami tidak ada apa-apa masalah pun (untuk jadi pembangkang),” ujarnya lagi.
#pertukaran kerajaan negeri Perak #Pesuruhjaya Pas Perak #Razman Zakaria #Saarani Mohamad
;