Pertingkat usaha dekati rakyat, kata PM Najib

Bernama
Oktober 9, 2016 04:07 MYT
Perdana Menteri turut menekankan pentingnya parti-parti komponen BN menyangkal tohmahan pembangkang yang sering memutar belit isu semasa dan memburukkan nama baik Malaysia. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota Gerakan meningkatkan usaha gigih dan bekerja lebih kuat bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) terus meraih sokongan rakyat.
"Kita mestilah mendekati rakyat, sentiasa memberi perkhidmatan yang efektif dan memastikan organisasi kita mempunyai gerak kerja yang mantap lagi tersusun serta teratur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu mesej menerusi rakaman video yang ditayangkan pada persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-45 di sini hari ini.
Video berdurasi dua minit itu mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.
Najib yakin Gerakan dapat memperbaiki prestasi pada pilihan raya umum akan datang berbekalkan tanggungjawab kepada rakyat yang dilaksana dengan baik di bawah kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Mah Siew Keong.
"Saya juga pernah menyarankan dan sekali lagi menekankan kepada semua anggota Gerakan agar mereka mempunyai 'courage of your convictions'.
"Semoga menerusi kesepakatan dan kerjasama yang baik serta ikhlas, saya percaya BN akan terus berjaya dalam memimpin Malaysia ke arah kejayaan yang lebih gemilang dan membanggakan," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya parti-parti komponen BN menyangkal tohmahan pembangkang yang sering memutar belit isu semasa dan memburukkan nama baik Malaysia.
Persidangan dua hari bermula semalam dengan tema 'Bersatu Demi Kemajuan dan Kemakmuran' itu berlangsung dihadiri lebih 1,200 perwakilan dari seluruh negara. -- BERNAMA
#berita Malaysia #GERAKAN #mah siew keong #Najib Razak #Perdana Menteri #Perwakilan Nasional Parti Gerakan