Pertimbang lantik teknokrat dalam penubuhan jawatankuasa - Penganalisis

Syafik Shukri Jalil
Ogos 27, 2021 18:27 MYT
Mujibu Abd Muis tidak menolak kemungkinan kurangnya pelantikan teknokrat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Kabinet adalah bagi menstabilkan situasi politik negara. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelantikan golongan teknokrat wajar dipertimbangkan dalam pembentukan jawatankuasa tertentu bagi membolehkan golongan ini menyumbang kepakaran dan saranan kepada kerajaan.
Menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, pelantikan teknokrat diperlukan memandangkan kurangnya penyertaan golongan tersebut dalam Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
‘’Saya rasa kita (perlu) meraikan penyertaan dan idea cadangan untuk menyertakan golongan teknokrat yang ada kepakaran, jaringan antarabangsa dan pengetahuan dalam bidang-bidang tertentu untuk menyertai Kabinet.
‘’Barangkali, ada cara lain untuk mengundang mereka-mereka yang bergelar teknokrat untuk menyumbang tenaga dan menyumbang saran kepada kerajaan.
‘’Ini boleh dibuat menerusi Jawatankuasa Majlis dan sebagainya... itu mungkin barangkali akan diperbesarkan dalam konteks yang sebegitu,’’ kata beliau dalam temu bual bersama Astro AWANI.
BACA: Ini senarai anggota Kabinet Ismail Sabri Yaakob
BACA: Kabinet Ismail Sabri sepintas lalu, tiada Timbalan Perdana Menteri
BACA: Ucapan penuh Ismail Sabri: Pembentukan Kabinet baharu
Mujibu dalam masa sama bagaimanapun tidak menolak bahawa kurangnya pelantikan teknokrat dalam Kabinet adalah bagi menstabilkan situasi politik negara.
‘’Saya tidak nampak itu berlaku disebabkan pertimbangan politik melebihi kepada pertimbangan tersebut kerana kita juga harus faham mengapa agaknya Datuk Seri Ismail Sabri mengambil keputusan untuk mengecilkan penyertaan teknokrat di dalam kerajaan ini.
‘’Hal ini disebabkan kita berhadapan dengan ketidakstabilan politik yang barangkali perlu untuk diselesaikan dengan memberi lantikan tersebut kepada orang politik, itu satu aspek yang barangkali perlu diperhatikan,’’ tambahnya.
Kabinet Baharu | 100 hari buktikan pencapaian - Mujibu Abd Muis
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai Jemaah Kabinet pada Jumaat yang melibatkan 69 individu yang dipilih sebagai menteri dan timbalan menteri untuk 27 kementerian.
#Kabinet Baharu #ismail sabri yaakob #pelantikan teknokrat #kestabilan politik negara
;