Pertikaian calon PRK tunjuk sikap tidak matang pembangkang - Irmohizam

Bernama
Mei 21, 2016 07:50 MYT
IRMOHIZAM: Kerusi-kerusi yang dipertandingkan ini nampaknya menjadi lebih kalut buat pembangkang.
Pertikaian dalam meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak jelas menunjukkan sikap tidak matang pakatan pembangkang, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim.
Beliau berkata pergeseran itu membuktikan politik pembangkang lebih menjurus kepada kepentingan masing-masing parti dan peribadi semata-mata.
"Kerusi-kerusi yang dipertandingkan ini nampaknya menjadi lebih kalut buat pembangkang apabila Pas diberi amaran untuk tidak meletakkan calon," katanya.
Dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu, Irmohizam, anggota Parlimen Kuala Selangor itu berkata dengan ini, terbukti strategi politik Barisan Nasional (BN) lebih matang dalam menentukan calon pilihan rayanya.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat diminta menilai parti yang ikhlas membantu mereka dan tidak termakan pujuk rayu pembangkang yang ternyata hanya mementingkan kedudukan.
"Hanya Barisan Nasional mementingkan kesejahteraan rakyat," katanya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandang masing-masing Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 18 Jun.
#Irmohizam Ibrahim #Kuala Kangsar #pembangkang #PRK #Sungai Besar
;