Pertemuan Tun Mahathir-Anwar: Usaha kolektif, Azmin Ali antara perancang
Harits Asyraf Hasnan
September 7, 2016 15:15 MYT
September 7, 2016 15:15 MYT
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara individu yang merancang pertemuan antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, kelmarin.
Menurut Mohamed Azmin, pertemuan itu merupakan usaha kolektif beberapa individu dalam usaha penyatuan parti-parti pembangkang.
"Ia usaha kolektif...saya sedang berusaha sebaik mungkin untuk bercakap dan bertemu dengan semua parti (pembangkang).
"Saya fikir ia satu perkembangan yang cukup besar pada masa kini, tetapi proses ini masih lagi berjalan dan saya harap kita akan dapat lihat keputusan yang baik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14," katanya kepada media selepas menghadiri Seminar "Copenhagen Solutions For Sustainable Cities" di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Tambahnya, Anwar telah banyak kali menyatakan hasrat untuk bergerak ke hadapan dalam usaha menyatukan rakyat Malaysia menerusi agenda reformasi.
UMNO usah panik
Pada masa sama, beliau mempersoal mengapa perlu pemimpin UMNO begitu gentar dan panik susulan pertemuan antara Tun Mahathir dan Anwar.
"Mengapa dia (Datuk Nur Jazlan) sibuk sangat? Saya rasa ini satu pertemuan yang baik untuk menyatupadukan umat dan rakyat Malaysia dan memperkukuhkan parti-parti pembangkang.
"Sebab itu UMNO agak gentar dan panik. Jadi mereka tidak perlu panik. Saya kira ini satu permulaan yang baik sebagai persiapan kita untuk menghadapi (PRU14)," katanya.
Tegas Mohamed Azmin, pembangkang hanya ada satu matlamat iaitu untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.