Pertemuan Tun Mahathir-Anwar: 'UMNO jangan sombong dan berlagak' - Armand
Wan Syamsul Amly
September 6, 2016 18:30 MYT
September 6, 2016 18:30 MYT
Pemimpin atau ahli UMNO diminta tidak memberikan terlalu banyak reaksi atau pandangan mengenai pertemuan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ahli parti perlu sentiasa memberikan fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Ramai bertanya saya tentang isu politik terkini terutama mengenai perjumpaan Dr Mahathir dan Anwar. Saya sebagai pimpinan muda dalam UMNO akan terus teguh bersama kepimpinan parti dan memberikan politik khidmat bakti kepada rakyat.
"Itu lebih baik daripada kita asyik bermain politik kebencian. Paling penting beri fokus kepada gerak kerja dan dekati rakyat. Jangan sombong, angkuh, berlagak atau tidak mesra.
"Pemimpin UMNO perlu sentiasa ingat semua dijadikan pemimpin kerana suara akar umbi dan rakyat," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Armand mengulas kemunculan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Pertemuan di antara dua tokoh politik itu adalah yang pertama sejak 18 tahun.
Dalam pada itu tegas Armand, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu sentiasa terbuka untuk menerima kritikan, kutukan, pandangan, cadangan malah perlu sentiasa beristiqamah jika difitnah.
"Dalam perjalanan politik, bukan semua orang akan suka jika kita buat kerja dan mungkin tidak disukai walaupun tidak mengenali secara peribadi.
"Itu resam perjuangan. Katalah apa sahaja, saya tidak pernah lari dari prinsip asas perjuangan parti," jelasnya.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertemuan bekas Dr Mahathir dan Anwar sebagai satu tindakan politik yang terdesak.
Tegasnya, tindakan Dr Mahathir menemui seteru politiknya itu dilihat tidak ikhlas kerana tujuan utamanya adalah meraih sokongan daripada pihak pembangkang.