Pertemuan Tun M tak sentuh Proklamasi Orang Melayu - Muhyiddin

Sinar Harian
Julai 5, 2023 16:18 MYT
Dari kiri, Muhyiddin dan Dr Mahathir sedang mengadakan pertemuan pada malam Selasa. -Facebook Muhyiddin
SHAH ALAM: Pertemuan di antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi mengukuhkan perpaduan orang Melayu.
Dalam masa sama, menurut Muhyiddin, perjumpaan itu juga bagi meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Beliau yang juga Presiden PN berkata, pertemuan tersebut berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Semalam saya telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua.
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus,” katanya pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir dan Muhyiddin mengadakan pertemuan bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.
Kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr Mahathir pada malam Selasa.
Menurut Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu ini. -Sinar Harian
#Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #PRN #Proklamasi Orang Melayu
;