Pertemuan PM, Pembangkang: Ini paradigma baharu, prejudis dua pihak mesti berakhir - Khaled Nordin
Firdaus Azil
Ogos 26, 2021 10:21 MYT
Ogos 26, 2021 10:21 MYT
KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan pemimpin kanan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu telah membuka lembaran baharu untuk kerjasama rentas parti bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam catatan di Facebooknya pada Rabu berkata, persefahaman dan kenyataan bersama antara Perdana Menteri dengan kepimpinan Pakatan Harapan adalah permulaan era baharu yang sangat positif.
Katanya lagi, persefahaman itu berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia.
“Politik Malaysia tidak boleh lagi dalam takuk yang lama. Paradigma baru dalam amalan demokrasi kita mesti harus lebih luwes, terbuka dan progresif.
“Prejudis terhadap pembangkang mesti berakhir. Begitu juga persepsi negatif terhadap kerajaan harus berubah,” katanya lagi.
Semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu telah mengadakan perbincangan dengan Ismail Sabri berhubung pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi negara.
Dalam pertemuan selama sejam di Bangunan Perdana Putra itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus, serta memenuhi kehendak rakyat.
"Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.
“(Ini) bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.
BACA: Undi tidak percaya: Jika PM komited tangani COVID-19, PH tidak mahu 'persulitkan' keadaan - Anwar
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui media selepas selesai pertemuan itu berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu "mempersulitkan" keadaan jika Perdana Menteri kerajaan terus komited untuk mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, PH sedia untuk berganding bahu sekiranya Kerajaan terus mewujudkan program-program bersifat pro-rakyat, serta polisi yang bersesuaian untuk membantu golongan miskin, serta mereka yang kehilangan pekerjaan.
Ditanya mengenai kemungkinan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, PH mengambil pendirian untuk meredakan suhu politik semasa bagi membolehkan Kerajaan berfungsi dengan baik, sekiranya komitmen dan agenda rakyat diutamakan dahulu.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, beliau menzahirkan harapan agar langkah besar yang dimulakan oleh Perdana Menteri akan disusuli dengan pelbagai tindakan yang lebih terangkum daripada kedua-dua pihak.
“Malaysia adalah milik semua. Ia tanah air semua untuk semua dan kita mesti bersepakat deminya. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” katanya lagi.