Pertemuan Najib, Abdul Hadi berlangsung harmoni dan mesra

Harits Asyraf Hasnan
Disember 17, 2015 21:19 MYT
Najib dan Abdul Hadi masing-masing bercakap tentang konteks perpaduan ummah. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Pertemuan antara dua sosok politik negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Majlis Perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini berlangsung dalam suasana harmoni dan kemesraan
Najib yang juga Presiden UMNO dan Abdul Hadi saling menyapa dan bersalaman bersama para alumni Al-Azhar.
Dalam majlis tersebut, Najib dalam ucaptamanya mengemukakan lima cadangan kepada alumni Universiti Al-Azhar di Malaysia untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
Menurut Najib, Alumni Al-Azhar yang dianggotai mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam boleh memperkemaskan syor terbabit supaya kerajaan mampu memperkukuh perpaduan umat.
"Yang pertama, memberi penerangan dan pengajaran kepada umat islam bahawa berusaha ke arah perpaduan adalah satu kewajipan yang dituntut di sisi Islam dan bukan pilihan peribadi yang boleh dibicara mengikut selera hati.
"Yang kedua, memastikan bahawa umat Islam memahami kepentingan perpaduan sehingga ke tahap pencernaan sifat-sifat perpaduan dalam pemikiran serta urusan hidup mereka," jelas Najib.
Selain itu, Alumni Al-Azhar juga disaran menganjurkan program yang akan melibatkan pembabitan secara langsung dengan tema perpaduan selain melahirkan kader muda yang akan meneruskan agenda perpaduan negara.
Najib juga mahu agenda perpaduan dijadikan sebagai agenda umat di peringkat negara mahupun di peringkat global yang bakal menjadi faktor pendesak ke arah perpaduan ummah.
Justeru, beliau berharap Alumni Al-Azhar dan seluruh pemimpin umat Islam dapat meneruskan usaha proaktif bagi merealisasikan perpaduan ummah merentasi ideologi politik.
Perdana Menteri turut memetik ayat al-Quran menerusi Surah al-Imran di mana Allah memerintahkan supaya umat Islam berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan berpecah belah.
"Saya yang mewakili kabilah saya dan tuan guru mewakili kabilah tuan guru. Marilah kita berpegang kepada pengertian ayat ini.
"Jangan kita pula macam negara-negara Islam yang lain. Seperti Prof Ar Abas katakan tadi, InsyaAllah, Malaysia tidak akan terjebak seperti negara-negara yang disebutkan tadi," katanya.
Menurut Najib, ayat 103 surah itu secara jelas melarang umat Islam daripada berpecah.
Kepentingan perpaduan
Sementara itu, dalam ucaptama Abdul Hadi, beliau menegaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini termasuk di peringkat global.
Mengambil contoh di Asia Barat, Najib berkata apa yang dilakukan penganut Syiah dan Sunni yang saling berperang sesama sendiri dilihat merugikan mereka masing-masing.
"Hari ini, oleh kerana kejayaan ideologi, Sunni bersama Sunni berperang , Syiah berperang dengan Syiah (tapi) dengan menggunakan senjata yang diberi oleh Barat atau Timur.
"Kita berperang, saling membunuh, sama ada membeli senjata dari Amerika Syarikat, Rusia atau China. Kita berperang dengan senjata, bayar dengan duit kita.
"InsyaAllah, Melayu tidak akan menjadi macam Arab. Kita berbeza pendapat, kita berbalah berkelahi, tapi tidak berlaku peperangan," katanya.
Justeru, Abdul Hadi juga berpandangan perlu ada hubungan yang baik antara pemimpin Islam di negara ini supaya ia tidak akan merugikan rakyat dan Islam secara umumnya.
#Abdul Hadi Awang #alumni al-Azhar #Najib Razak #perpaduan
;