Pertemuan menteri UMNO: 'Wallahi... kita hanya sarapan sahaja' - Khairy
Hasimi Muhamad
Mac 25, 2022 17:55 MYT
Mac 25, 2022 17:55 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan berhubung pembubaran Parlimen dilakukan pada pertemuan melibatkan menteri-menteri dan timbalan menteri UMNO pagi tadi.
Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebentar tadi.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut bersumpah, pertemuan tersebut hanya melibatkan sesi bersarapan pagi.
“Wallahi… kita hanya bersarapan pagi sahaja.
“Datuk Seri Reezal (Merican) belanja sebab kita dan lama tak jumpa… (baru lepas) PAU dan sebagainya.
“Tiada (perbincangan) pembubaran Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, di sini pada Jumaat.
Terdahulu, pertemuan beberapa menteri UMNO itu menarik perhatian media.
Antara yang dilihat hadir adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Turut kelihatan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, Menteri Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dilaporkan berkata, pertemuan beberapa menteri UMNO itu bermungkinan berbincang mengenai keperluan mengadakan PRU15 lebih awal.
Bagaimanapun, jelasnya pertemuan itu tidak memberi impak kerana keputusan pelaksanaan PRU15 ditentukan 'Top 5' pemimpin UMNO.