Pertemuan menteri UMNO: 'Hanya bersarapan pagi sementara tunggu PM'- Reezal Merican

Fareez Azman
Mac 25, 2022 15:13 MYT
Ujar Reezal Merican, kebiasaannya Mesyuarat Kabinet bermula pada jam 9.00 pagi, bagaimanapun kali ini ia bermula jam 10.00 pagi kerana Perdana Menteri perlu menghadiri perhimpunan itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan pertemuan beberapa menteri UMNO seperti yang dilaporkan di sebuah hotel di Putrajaya pada Jumaat hanya untuk bersarapan pagi.
Ujar Ahli Parlimen Kepala Batas itu, kesemua mereka yang hadir ke hotel berkenaan untuk bersarapan pagi sementara menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara pada pagi tadi.
"Mesyuarat Kabinet hari ini bermula lewat daripada kebiasaan sebab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hadir Hari Perbarisan Polis.
"Kami cuma bersarapan pagi dan berbual seperti biasa, sebab hotel itu dekat dengan Pejabat Perdana Menteri, jadi kami ke sana," jelasnya lagi.
Ujarnya lagi, kebiasaannya Mesyuarat Kabinet bermula pada jam 9.00 pagi, bagaimanapun kali ini ia bermula jam 10.00 pagi kerana Perdana Menteri perlu menghadiri perhimpunan itu.
BACA: Menteri UMNO adakan pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya?
BACA: Mungkin bincang keperluan PRU15 lebih awal - Nazri
Terdahulu, pertemuan beberapa menteri UMNO itu menarik perhatian media.
Selain Datuk Seri Reezal Merican, antara yang dilihat hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Turut kelihatan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, Menteri Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Dalam pada itu mengulas perkara yang sama jelas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pertemuan beberapa menteri UMNO itu bermungkinan berbincang mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lebih awal.
Bagaimanapun, jelasnya pertemuan itu tidak memberi impak kerana keputusan pelaksanaan pilihan raya umum ditentukan 'Top 5' pemimpin UMNO.
#pertemuan #Menteri UMNO #Reezal Merican Naina Merican #kerajaan
;