Pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam tidak bermakna ia dapat mengukuhkan pakatan pembangkang, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata Dr Mahathir sedar bahawa beliau tidak berkemampuan dan tidak diterima seperti dahulu sehingga terpaksa mencari Anwar sebagai cubaan untuk mengukuhkan pembangkang.

"Dr Mahathir berjumpa Anwar untuk pikat penyokong PKR. Bagaimanapun ramai daripada mereka meninggalkan UMNO kerana apa yang Dr Mahathir lakukan terhadap Anwar. Mereka tidak suka apa yang Dr Mahathir lakukan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

"Bila dia (Dr Mahathir) berjumpa Anwar untuk menunjukkan sokongannya. Ini akan membuatkan pengikut Anwar tawar hati yang dia kini membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya. Pertemuan itu mungkin boleh menjadi punca tidak puas hati dalam kalangan anggota PKR dan menyebabkan mereka meninggalkan PKR," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Psikologi Keselamatan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Nur Jazlan ditanya mengenai pertemuan Dr Mahathir dan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam di mana Anwar mempunyai kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri. Anwar juga dipecat daripada UMNO.