Pertemuan Hadi-Tun M: Pas nafi mahu tinggalkan Bersatu - Idris
Amirrul Rabbani
Mei 7, 2023 16:04 MYT
Mei 7, 2023 16:04 MYT
LARUT: Pas menafikan dakwaan pertemuan yang berlangsung antara Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini sebagai langkah Pas untuk meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana kerjasama dan hubungan antara dua parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) masih kuat.
Katanya ia terbukti menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kedah pada Sabtu yang mana antara lain turut dihadiri pemimpin-pemimpin Bersatu.
“(Dakwaan Pas hendak tinggalkan Bersatu) itu tidak betul. Malah sebenarnya rancangan pertemuan dengan Tun Mahathir itu sudah dirancang lebih lama namun telah tertangguh hampir empat kali.
“Ketika itu sahaja Tun Mahathir berkelapangan (untuk adakan pertemuan dengan Abdul Hadi) yang mana pada asalnya ada program rasmi untuk itu, namun telah dibatalkan pada saat-saat akhir,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut, pada Ahad.
Turut hadir, Ahli Parlimen Larut merangkap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Idris sebelum itu diminta mengulas berkenaan dakwaan partinya akan meninggalkan Bersatu selepas Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Idris turut diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad yang menyifatkan pertemuan antara dua pemimpin itu sebagai satu 'Kesepakatan Ahzab' untuk memporak-perandakan negara.
“‘Hebatlah kalau kami ini ‘Ahzab’. Dan mereka siapa pula? Itu dia (Khalid) pula kena jawab. Kalau mereka kata kami ini Ahzab, jadi Pakatan Harapan tu apa pula? Itu sahaja komen saya,” jawabnya.