Pertemuan dengan Perdana Menteri untuk redakan suhu politik - Anwar
Madiha Abdullah
Ogos 26, 2021 23:59 MYT
Ogos 26, 2021 23:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kehadiran Pakatan Harapan (PH) di Perdana Putra adalah atas dasar menerima jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bagi meredakan suhu politik yang dilihat terlalu panas ketika ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH akan terus menjalankan tugas sebagai pembangkang dan pertemuan tersebut bukanlah bertujuan untuk melobi atau meminta sebarang jawatan dalam kerajaan.
"Kita menerima undangan itu kerana negara kini sedang berhadapan malapetaka yang setakat ini belum nampak kesudahannya dan belum ada pendekatan yang mampu meredakannya.
"Hal ini akan terkait dengan ekonomi dan ini bukan sahaja dalam skop yang kita lihat bursa saham dan sebagainya tetapi lebih penting, ia memberi impak kepada rakyat. Bukan sahaja dalam kalangan B40 tetapi hari ini kita lihat M40 sudah ramai jatuh ke B40. Ini tidak pernah terjadi.
"Dahulu semasa zaman Jepun, kita selalu dengar orang susah nak cari makan, tetapi sekarang kita berhadapan dengan puluhan malahan ratusan ribu yang mengharapkan bantuan makan.
"Apa yang kita berjaya capai kata sepakat ialah isu berkaitan COVID-19, kena ada pendekatan baharu. Kita juga kemukakan cadangan peruntukan baharu untuk rakyat.
'Kita tekankan, bukan sahaja dana yang penting tetapi juga memastikan tidak ada ketirisan berlaku," katanya menerus video yang dimuat naik di laman Facebook beliau malam ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut menegaskan, mereka juga menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahukan politik sederhana dan matang.
"Ini menunjukkan kepada rakyat yang kita ahli politik, tidak ada permusuhan yang begitu tajam sehingga menimbulkan kebencian," tegasnya.
Terdahulu, Anwar hadir dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.