'Pertempuran PRU15 sudah berakhir, mari kita bina negara' - Ka Siong
Hilmi Malik
Mei 14, 2023 16:05 MYT
Mei 14, 2023 16:05 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli politik disaran agar terus berlapang dada serta fokus terhadap proses membina Malaysia ke arah yang lebih dinamik dan inklusif.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pertempuran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah pun berakhir dan senario politik ketika ini memerlukan kepelbagaian idealogi yang tidak lagi berpaksikan perjuangan berdasarkan politik kepartian semata-mata.
“Kepelbagaian di negara kita merupakan satu keunikan dan menjadi khazanah negara yang perlu dipelihara, dipertahan dan terus diperkukuh.
“Kepelbagaian ini juga perlu dirai, bukannya dicemari dengan politik ekstremisme atau melampau tetapi yang kita kehendaki adalah keserdehanaan.
“Perpaduan dalam kepelbagaian ini perlu kita pertahankan walau apa jua cabaran dan rintangan mendatang kerana inilah kekuatan kita sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika sesi Bicara Rakyat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Tambahnya lagi, penubuhan Kerajaan Perpaduan juga merupakan hasil daripada proses demokrasi yang turut membuka ruang konsensus yang baik dalam membina negara bangsa.
Selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, MCA katanya akan terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang perkauman dalam usaha untuk membangunkan negara secara bersama.
“Mengorak langkah ke hadapan, Kerajaan Madani perlu mempunyai tata kelola atau urus tadbir yang baik dan kita perlu melakukan perubahan segera terhadap segala kekurangan atau kelemahan.
“Mana yang salah kita perbetulkan, kerajaan juga sepatutnya bersifat responsif, progresif, inklusif dan sentiasa mendengar suara rakyat.
“Harapan saya agar Kerajaan Perpaduan ini sentiasa mengutamakan rakyat, mendengar denyut nadi rakyat dan merapatkan saf demi kestabilan politik seterusnya dapat memajukan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya lagi.