Pertembungan satu lawan satu di PRK Sungai Bakap
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 22, 2024 11:00 MYT
Jun 22, 2024 11:00 MYT
NIBONG TEBAL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu antara calon Pakatan Harapan (PH)- BN dan Perikatan Nasional (PN).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi di Dewan Serbaguna Jawi.
PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin, 60, atau Cikgu Joohari mewakili Kerajaan Perpaduan menentang bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, atau Abang Bidin mewakili PN.
Terdahulu, Khairulnizam mengumumkan Joohari mengemukakan kertas pencalonan padq jam 9.03 pagi, diikuti Abidin pada jam 9.06 pagi.
Setelah disemak tiada kertas pencalonan ditolak SPR.
Seramai 39,345 pengundi berdaftar layak memunaikan tanggungjawab masing-masing terdiri 39,288 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi dan pengundian awal pula diadakan pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.