Pertembungan dua personaliti berkaliber Zambry-Hatta
Aida Aziz
April 28, 2018 15:03 MYT
April 28, 2018 15:03 MYT
Persaingan untuk kerusi Parlimen Lumut menyaksikan pertembungan antara doktor falsafah dan doktor perubatan apabila Datuk Seri Zambry Abd Kadir bertemu Mohd Hatta Ramli bagi merebut kerusi P074 itu.
Selain dua personaliti berkaliber, seorang lagi calon Mohammed Zamri Ibrahim dari parti Pas juga meletakkan harapan untuk memenangi Parlimen Lumut apabila pencalonannya disahkan SPR pagi tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Lumut, Mohd Helmi Arifin mengumumkan pertandingan tiga penjuru bagi Parlimen Lumut di antara Barisan Nasional (BN), Keadilan dan Pas.
Parlimen Lumut yang mempunyai jumlah 67,157 pemilih berdaftar layak mengundi merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pangkor dan Pasir Panjang, dengan kedua-duanya turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Bagi kerusi N52 DUN Pangkor, Zambry yang juga penyandang kerusi itu berdepan dengan dua calon lain Nordin Ismail mewakili Keadilan dan Zainal Abidin Saad dari Pas.
Leman Kanaullah yang diwar-uwarkan mahu membuat penampilan atas tiket calon Bebas bagi DUN Pangkor tidak menjadi kenyataan apabila beliau gagal hadir ketika penamaan calon.
Pertembungan tiga penjuru juga berlaku di kerusi DUN Pasir Panjang diantara penyandang Datuk Rashidi Ibrahim dari BN dengan Yahaya Mat Nor dari Keadilan dan Rohawati Abidin dari PAS.
Pengumuman calon bagi kesemua kerusi itu dibuat Mohd Helmi pada jam 12.20 tengahari di hadapan penyokong masing-masing, bertempat di pusat penamaan calon,Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut.
Proses penamaan calon berjalan dengan lancar yang memperlihatkan tidak ada borang calon yang ditolak atau bermasalah.
Begitu juga suasana penyokong yang tidak menimbulkan huru-hara di mana mereka diletakkan dengan jarak kira-kira 15 meter antara penyokong bagi parti masing-masing.
Terdahulu, penyokong Pakatan Harapan mengiringi calon mereka dengan menggunakan logo PKR sambil melaungkan slogan 'reformasi', penyokong BN pula melaungkan slogan ‘hidup BN’ manakala PAS pula berselawat di samping membawa sepanduk manifesto.
#Barisan Nasional
#calon
#Dr Mohd Hatta Ramli
#lumut
#Malaysia Memilih
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#PAS
#PKR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Zambry Abd Kadir