Pertembungan satu lawan satu di PRK Nenggiri

Bernama
Ogos 3, 2024 02:45 MYT
Mohd Azmawi (kiri) dan Mohd Rizwadi bergambar selepas diumum sebagai calon yang layak bertanding di Pusat Penamaan Calon PRK DUN N.43 Nenggiri di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang hari ini. --fotoBERNAMA
GUA MUSANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.
Kedua-dua mereka diumum sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.
PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
Nik Raisnan berkata Mohd Rizwadi Ismail, 41, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi, diikuti Mohd Azmawi Fikri, 38, pada 9.08 pagi.
Terdahulu, Mohd Azmawi Fikri berbaju melayu berwarna biru tiba di pusat penamaan calon pada 9.05 pagi diiringi Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut hadir memberi sokongan kepada calon BN itu ialah pimpinan UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mohd Rizwadi pula yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang dan baharu menyertai Bersatu sebelum dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional, tiba pada 9 pagi diiringi Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Turut hadir Pengarah Operasi PRK Nenggiri PN Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan Bersatu termasuk Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebelum itu, ribuan penyokong mengiringi kedua-dua calon berkenaan berkumpul seawal 7 pagi di perkarangan pusat penamaan, sebelum bersama-sama berarak ke pusat penamaan sambil berselawat dan melaungkan slogan parti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.
Sementara itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga jam 11.59 malam 16 Ogos.
Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
DUN berkenaan telah dipertandingkan mulai 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN dan kali terakhir dimenangi Mohd Azizi.
-- BERNAMA
#PRK DUN Nenggiri #PRK Nenggiri #Barisan Nasional #PAS