'Pertelingkahan DAP, UMNO tidak sepatutnya dipanjangkan' - Dominic

Sinar Harian
Jun 10, 2023 09:10 MYT
Dominic berkata, langkah itu dapat membantu UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan gesaan Pemuda UMNO agar DAP membuat permohonan maaf kepada UMNO adalah wajar dan munasabah.
Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan rasa tidak puas hati akar umbi parti itu berikutan kerjasama mereka, malah membantu UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Namun, Dominic terkejut apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menghiraukan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan dasarnya pada Khamis agar DAP memohon maaf atas pelbagai fitnah lampau terhadap UMNO.
"Sebagai presiden, Ahmad Zahid tidak sepatutnya memanjangkan pertelingkahan antara DAP dan UMNO, kerana ia akan membuatkan orang ramai tertanya-tanya?
“Apa yang Ahmad Zahid takutkan? Adakah DAP menjanjikan sesuatu kepada beliau untuk membentuk kerajaan campuran tanpa pengetahuan orang luar sehingga tidak berani menyinggung DAP?
"Beliau perlu menjelaskan perkara ini kepada akar umbi UMNO," kata Dominic dalam satu kenyataan mengulas pendirian Ahmad Zahid.
Pada Khamis, Presiden UMNO itu dilaporkan media berkata, desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula.
Beliau menegaskan, perkara itu telah dibincangkan beberapa kali ketika fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid berpendapat, isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu yang tidak senang duduk melihat kestabilan politik yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Dominic bagaimanapun menegaskan bahawa DAP telah membuat pelbagai fitnah terhadap UMNO dahulu.
"Jika ada dakwaan palsu atau tidak benar, maka DAP harus bertanggungjawab untuk memohon maaf secara terbuka.
“Saling memahami dan minta maaf dalam politik adalah asas untuk membina kepercayaan dan persefahaman, bukan mengabaikan kesalahan lalu," katanya.
Dominic turut mengambil contoh sebelum penubuhan kerajaan campuran itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook juga pernah meminta maaf kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti DAP yang menyinggung perasaannya.
"Dalam situasi yang sama, mengapa Ahmad Zahid takut untuk minta DAP memohon maaf kepada UMNO?
“Bagaimana UMNO boleh mengaku membela orang Melayu dan Islam jika mereka tidak berani meminta DAP untuk memohon maaf atas pelbagai fitnah yang dilakukan sebelum ini?
"Ini urusan dalaman parti, Ahmad Zahid tidak boleh mengabaikan dan membuat keputusan yang membelakangkan akar umbi," tegas Dominic. - Sinar Harian
#DAP #UMNO #Pemuda UMNO #Dominic Lau Hoe Chai
;