Pertandingan tiga penjuru pada PRK Parlimen Sungai Besar

Bernama
Jun 5, 2016 11:29 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) mengangkat tangan Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi (empat, kanan) semasa menuju ke pusat penamaan calon PRK Sungai Besar. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi; calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Khairuddin Md Som mengumumkan demikian pada 10.28 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam ditutup pada 10 pagi.
"SPR telah menerima kertas pencalonan daripada tiga calon iaitu Budiman Mohd Zohdi daripada Barisan Nasional pada pukul 9.03 pagi, Azhar Abdul Shukur pada 9.05 pagi daripada parti Amanah dan Dr Abdul Rani Othman daripada parti PAS pada 9.12 pagi.
"Selepas menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai proses pencalonan, saya berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaannya," katanya yang disambut sorakan pada penyokong calon yang hadir.
BACA: Proses penamaan calon PRK Sungai Besar ditutup, tiga pencalonan diterima
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Allahyarham Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M. Hussin dengan majoriti 399 undi.
Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun.
#Mohd Khairuddin Md Som #PAS dan Amanah #PRK bagi kerusi P093 Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN
;