Pertandingan tiga penjuru di PRK Pengkalan Kubor
Astro Awani
September 13, 2014 10:16 MYT
September 13, 2014 10:16 MYT
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan Bebas.
Calon yang bertanding adalah dari Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; dari PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pengumuman rasmi pencalonan bagi PRK Pengkalan Kubor itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sobri Ramli di pusat penamaan calon di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, calon BN Mat Razi telah diiringi Timbalan Perdana Menteri juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi, ketua BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai ke pusat penamaan calon.
Manakala, Wan Rosdi diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PKR Tian Chua.
SPR telah menetapkan hari pembuangan undi pada 25 September ini.
Pekan Tumpat sejak pagi lagi meriah dengan kelibat ratusan warganya serta sorakan yang diwarnai dengan kibaran bendera biru dan hijau di sepanjang jalan.
Cuaca mendung tidak menghalang ratusan penyokong berkumpul di situ menunggu pencalonan Mat Razi Mat Ail dari Umno dan Wan Rosdi Wan Ibrahim dari PAS bagi pilihanraya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Penyokong kedua-dua parti berkumpul di pusat pencalonan seawal 7.00 pagi dengan dipantau anggota polis yang berkawal di situ sejak sebelum subuh.
Beberapa Menteri lain turut kelihatan bagi menzahirkan sokongan terhadap Mat Razi, antaranya Menteri Pertahanan juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
PRK Pengkalan Kubor diadakan susulan kematian penyandang dari BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos.
Allahyarham yang menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN) selama tiga penggal mengekalkan kerusi tersebut pada Pilihanraya Umum tahun lepas dengan mengalahkan Shaharun Ibrahim dari PKR dan calon bebas, Izat Bukhary, dengan majoriti 1,736 undi.