Pertahankan nikmat perpaduan
Prof Madya Dr Azman Yusof
Disember 5, 2020 09:31 MYT
Disember 5, 2020 09:31 MYT
PERTELINGKAHAN selama ratusan tahun di antara suku Aus dan Khazraj menjadikan mereka kaum yang lemah walaupun majoriti dari segi bilangannya. Sebaliknya kaum minoriti Yahudi mengaut banyak keuntungan daripada perselisihan tersebut sama ada dari segi status ekonomi mahupun sosial. Sehinggalah kehadiran Rasulullah SAW ke Madinah, barulah hal ini dapat diatasi. Mereka disatukan dengan ikatan persaudaraan Islam sehingga berjaya menjadi kaum yang kuat dan hebat. Lebih menarik, perpaduan ini bersifat inklusif; melibatkan golongan Muhajirin dan lain-lain yang terdapat di Madinah. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran, ayat 103 yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.”
Sesungguhnya perpaduan adalah salah satu rahmat dan nikmat yang paling besar kurniaan Allah SWT. Oleh sebab itu, sebagai tanda syukur dengan anugerah tersebut, maka ia wajib dipelihara dan dipertahankan. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
Sehubungan dengan itu, Islam menggesa penganutnya agar menghindarkan diri daripada anasir-anasir yang membawa kepada perpecahan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari kiamat nanti."
Leluhur kita dahulu amat sedar serta insaf akan peri pentingnya perpaduan dan malapetaka yang bakal menimpa jika sebaliknya. Hal ini dapat dilihat menerusi untaian bait-bait pantun berikut:
Pucuk putat warnanya merah,
bila dikirai terbang melayang;
duduk muafakat mengandung tuah,
sengketa usai dendam pun hilang.
Namun begitu, walaupun sarat dengan tunjuk ajar agama dan nilai-nilai luhur warisan budaya, perpaduan dalam kalangan orang Melayu masih lagi rapuh dan mudah diganggu-gugat. Salah satu di antara puncanya ialah disebabkan politik sama ada inter-party mahupun intra-party. Pertelagahan ini menyaksikan dua parti terbesar orang Melayu berpecah; daripada UMNO melahirkan parti Peribumi Bersatu di Semenanjung dan Warisan di Sabah. Manakala, opportunis PAS menubuhkan Parti Amanah Negara. Impaknya, pada pilihanraya umum ke-14 yang lalu, UMNO kehilangan kuasa setelah sekian lama memegang teraju kepimpinan negara.
Insaf akan hal ini, PAS telah mengambil langkah yang bijak dengan pendekatan yang penuh hikmah iaitu menjadikan naratif perpaduan ummah sebagai taglinenya. Pendekatan ini pada awalnya dipandang sepi oleh kawan mahupun lawan. Namun, usai pilihanraya umum ke-14, naratif perpaduan ummah telah menjadi ubat paling mujarab apabila berjaya menyatukan PAS-UMNO yang bersengketa puluhan tahun di bawah payung Muafakat Nasional (MN).
Muafakat ini telah menimbulkan kegerunan dipihak lawan hinggakan senjata ‘tohmahan’ mereka tidak lagi ampuh seperti dahulu. Nikmat perpaduan ummah ini mula dituai hasilnya apabila MN menang dalam 6 Pilihanraya Kecil berturut-turut. Suatu fenomena yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) walaupun menguasai kerajaan pusat mula mengalami defisit kepercayaan rakyat apabila manifesto pilihanrayanya gagal diterjemahkan menjadi realiti. Ungkapan ‘’manifesto bukan kitab suci’’ umpama keris yang menancap ke hulu hati pengundi. Akibatnya, PH diratib “Pakatan Hancing’’ oleh pengundinya sendiri setiap hari. Apatah lagi, pimpinannya pula dilihat mula tidak sehaluan.
Ibarat bangkai, walaupun cuba ditutup, baunya tetap menyucuk hidung. Keretakan dan ketidak sefahaman dapat dirasai menerusi kenyataan-kenyataan daripada pimpinan PH yang tidak konsisten dan saling bertentangan antara satu sama lain. Kekalahan demi kekalahan PH dalam PRK mengocakkan lagi gelora yang sedang membadai.
Desakan terhadap Tun Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pula umpama ‘retak menanti belah’. Tetapi, berpegang kepada kata-kata keramat bapa demokrasi Amerika, Abraham Lincoln ‘’agree to disagree’’, penulis percaya pada awalnya bahawa Kerajaan Pakatan Harapan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum ke-15.
Namun, bak kata pepatah, ‘’ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari’’. Tanpa taufan datang melanda, sekoyong-koyong kerajaan PH tumbang apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Pertarungan merebut kuasa kembali terbuka. Negara kembali berada diambang ‘krisis’ jika parti-parti politik dominan Melayu terus dibiarkan berantakan antara satu sama lain.
Sekali lagi naratif perpaduan ummah menjadi tonik paling mujarab apabila berjaya menyelamatkan pergolakan politik tanah air dengan terbentuknya kerajaan Pakatan Nasional. Walaupun masih baharu, keberkesanannya terbukti apabila sekali lagi berjaya membentuk kerajaan di Sabah dalam pilihanraya negeri yang lalu.
Justeru, pergolakan DUN Negeri Perak pada hari semalam sedikit sebanyak mencalar naratif perpaduan ummah yang dilaung-laungkan selama ini. Walau bagaimanapun, diharap krisis yang berlaku ini dapat dibendung segera daripada merebak dan menjejaskan kerajaan PN di peringkat Persekutuan yang telah terbukti berkesan. Sesungguhnya, nikmat perpaduan ini wajib dipertahankan. Perpaduan ummah bukanlah retorik politik semata-mata tetapi ia adalah tuntutan agama. Sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW: “Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#UMNO
#PAS
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#Islam
#ekonomi
#politik
#perpaduan
#rakyat
#Amanah
#kerajaan
#Melayu
#perpecahan