[PERSPEKTIF] Siapa Perdana Menteri selepas Mahathir dan Anwar?
Wan Syamsul Amly
Jun 8, 2018 21:05 MYT
Jun 8, 2018 21:05 MYT
JANJI Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya satu persetujuan realistik antara kedua-dua pemimpin itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kini sebenarnya mahu menyelesaikan beberapa isu yang disifatkannya sendiri menjadi titik-tolak permulaan penentangannya kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus penamat misinya 'mengeluarkan' Datuk Seri Najib Razak daripada Putrajaya.
Selepas beberapa ketika, perjuangan individu berusia 92 tahun itu untuk meneraju negara akhirnya menemui kejayaan.
Kemenangan itu juga memecah catatan Guinness World Records, perdana menteri paling tua di dunia yang disandang Morarji Ranchhodji Desai apabila tokoh pembangkang terkenal India itu menjadi ketua kerajaan negara tersebut pada 1977, dalam usia 81 tahun.
Mula kerja
Kini, Ketua Umum PH, Anwar sudah mula menjalankan 'kerja-kerja' perang sarafnya dengan pertemuan pertama bersama bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia.
Ia boleh juga ditakrifkan sebagai signal atau petanda kejayaan gerakan reformasi yang dilaungkannya sejak dibuang jawatan Timbalan Perdana Menteri satu masa dahulu sudah boleh diraikan.
Selain menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Anwar juga dilaporkan sudah berjumpa beberapa Raja-raja Melayu dan difahamkan berbincang isu-isu negara sebagai perbincangan sebelum naik 'kerusi' Perdana Menteri kelak.
Walaupun perjumpaan itu mencetus pelbagai spekulasi, Anwar terus dengan 'jelajah' istananya dan tidak menghiraukan khabar angin kononnya tindakannya akhir-akhir ini membelakangkan Dr Mahathir.
Nada sokongan Anwar jelas kelihatan dengan ingatan kepada semua pihak agar tidak menyinggung dan mencemarkan institusi Raja-Raja.
Ia mungkin susulan krisis anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Abdul Kadir Jasin berhubung peruntukan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar menjelaskan, walaupun hak untuk menyuarakan pandangan perlu dihormati, Abdul Kadir perlu menunjukkan penghormatan dan ketertibannya dalam hal ini.
Beliau juga menyifatkan kedudukan Institusi Raja-Raja perlu diangkat dan diberi penghormatan kemuliaan sebagai satu institusi berlandaskan peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.
Spekulasi PM
Selepas hampir sebulan PH memerintah, spekulasi bilakah Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir tetap mendapat tempat di kedai kopi dan perbualan harian rakyat.
Ia ditambah dengan jadual ke sana ke sini Anwar selain beberapa kenyataannya mahu bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) yang menambah panas spekulasi itu sendiri.
Banyak spekulasi mendakwa bahawa isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengundurkan diri bagi membolehkan PRK diadakan bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding.
Namun, Anwar dengan pantas menafikannya selain menyifatkan tidak akan bertanding sebagai ahli Parlimen sepanjang tempoh sebelum bermulanya sesi mesyuarat pertama Dewan Rakyat 16 Julai depan.
Bagaimanapun, kenyataan Anwar yang mengakui hanya akan membincangkan penyertaannya semula ke arena politik secara aktif selepas dua bulan ini boleh dibawa ke satu persoalan lain.
Walaupun alasannya mempunyai komitmen lain di dalam dan luar negara, seperti kuliah dan bertemu pemimpin dunia, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, ia tetap menjadi satu langkah persediaan menjadi perdana menteri.
Jelas dan nyata, rakyat sudah nampak persediaan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bukan satu rahsia lagi.
Teori siapa?
Saktinya teori RAHMAN iaitu Perdana Menteri pertama negara di dalam susunan jawatan tertinggi kerajaan tidak boleh dinafikan.
Urutannya seperti sudah ditetap bermula dengan Tunku Abdul Rahman, diikuti Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.
Selepas berakhirnya RAHMAN, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini dilaporkan berharap ia akan diikuti dengan teori MAHATHIR untuk senarai perdana menteri selepas pilihan raya ke-14 (PRU14).
Jika permohonan maaf Dr Mahathir ketika mengakhiri ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung PPBM tahun lepas, di atas 'segala kesalahan yang dilakukan selama beliau terlibat dalam politik negara', dijadikan garis ukur, ia mungkin melambangkan permulaan dan pembetulan semula kesilapannya membuang Anwar dahulu.
Andai teori RAHMAN itu masih lagi terpakai, huruf A selepas M mungkin menjadi milik Anwar.
Jika mengambil teori MAHATHIR, ia masih lagi dipunyai oleh individu yang namanya bermula dengan huruf A.
Anwar boleh terus bersedia dalam masa dua tahun ini untuk menggantikan tempat M di kerusi perdana menteri.
'Papa' Nurul Izzah ini juga boleh mengemudi negara dan terus di kerusi itu namun selama dua penggal sahaja.
Tempoh itu merupakan keputusan PH sendiri yang bersetuju untuk mengehadkan masa tampuk kekuasaan perdana menteri hanya untuk dua penggal seperti yang terkandung di dalam manifesto PH sendiri.
Selain perdana menteri, harus diingat, menteri besar dan ketua menteri juga tertakluk kepada had dua penggal sahaja.
Persoalannya kini, apakah teori RAHMAN diulang tayang semula dengan pembetulan nama A selepas M atau mungkin benar teori MAHATHIR kini mengambil tempatnya.
Jawapannya akan muncul dalam masa dua penggal selepas Anwar, atau mungkin muncul A lain, menjadi Perdana Menteri.
Persoalannya, N atau H?
* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Lim Kit Siang
#Mahathir Mohamad
#Najib Razak
#Nurul Izzah
#PPBM
#PRU14
#Wan Azizah