[PERSPEKTIF] Pemilihan UMNO: Membersih elitis, penyelewengan, sabotaj dalam parti

Wan Syamsul Amly
Jun 30, 2018 08:30 MYT
Apakah UMNO dengan pimpinan baharu boleh mengatakan mereka juga baharu namun bersifat lebih wajar berbanding PH? - Gambar Astro AWANI
CABARAN hari ini adalah bagaimana hendak dibawa, dan di mana realitinya, pemilihan UMNO boleh menjawab aspirasi dan juga kehendak ahli serta pengundi secara keseluruhannya.
Dari segi sejarahnya, UMNO selalu dilihat tempat untuk pengundi dan ahli bergantung, demi meneruskan kuasa serta pemerintahan.
Namun, pada abad 21 kini, ternyata bahawa harapan ini semakin hari semakin dilihat tidak kukuh seperti dahulu dan kejadian yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan keretakan pada PRU sebelum ini menjadi satu realiti selain ketakutan kepada ahli UMNO sendiri.
Keputusan itu bukan sahaja memberi kesan di peringkat negeri yang tidak memberi kejayaan untuk mengekal kuasa malah melenyapkan kejayaan memerintah negara sejak sekian lama.
Tidak terlintas di fikiran UMNO bahawa keruntuhan itu berlaku dari skop sebuah kerajaan, ia bukan jangkaan atau pemahaman kehilangan Kelantan atau Selangor yang sudah sedia maklum tidak akan berganti tangan kepada Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.
BACA: Perwakilan UMNO pilih presiden, kepimpinan baharu hari ini
Akibat daripada peristiwa ini, maka kita lihat beberapa perkara berlaku yang mana ramai tidak sedar. Kita juga melihat Sarawak sudah membuat ketetapan seolah-olah mahu berpisah dengan semenanjung.
Kedudukan Sarawak sebagai 'simpanan tetap' kepada BN kini sudah dipersoalkan, Sabah yang selama ini sentiasa dibanggakan dengan majoriti BN juga sudah mengikut langkah Kerajaan Persekutuan.
UMNO baharu
UMNO dalam suasana begini, bolehkah dengan beberapa perubahan dilakukan, memberi jawapan dalam masa tiga tahun ia boleh memenangi semula minda rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
Laungan berulang kali Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan mereka masih baharu mungkin dijadikan alasan politik untuk UMNO mendahului selepas 'ditekan' masyarakat kerana perlu merealisasikan masifesto 100 hari mereka.
Apakah UMNO dengan pimpinan baharu boleh mengatakan mereka juga baharu namun bersifat lebih wajar berbanding PH yang juga baharu?
Tengku Razaliegh berkata, Pemimpin UMNO sedia ada di semua lapisan perlu menerima budaya baharu dan memberi peluang kepada orang baharu untuk memastikan parti kekal relevan kepada rakyat. - Gambar hiasan
Apakah ada pilihan untuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) serta barisan tertinggi UMNO baharu kelak meyakinkan semua ahli yang dalam keadaan trauma, dan pengundi secara menyeluruh, bahawa UMNO juga baharu? Bukan sekadar menyebut UMNO baharu, namun roh kuat UMNO yang baharu.
Ada yang kata pembersihan, dari semua segi, terutama politik wang, dan kempen yang baharu dalam semua aspek.
Mungkin inilah kesan yang diberi oleh kerajan baharu ini kepada UMNO. Jadi, UMNO bukan sahaja perlu baharu tetapi perlu menyiapkan diri dengan manifesto baharu serta doktrin baharu yang lebih jelas kepada ahlinya.
Apa guna menonjolkan perkataan baharu jika semangatnya pudar? Kalau benar UMNO mahu menuju politik positif dan bertenaga, benarkan masyarakat untuk beri pandangan kritis terhadap parti Melayu itu.
Cuba beri harapan baharu kepada pemimpin UMNO. Harapan UMNO yang baharu. Tetapi jangan salah faham. Muka lama juga, kalau perangainya baharu, kemungkinan boleh memberi kesan positif kepada parti. Mungkin.
Ada rakyat kata, lebih baik cara lama daripada yang baharu. Namun secara keseluruhannya, UMNO itu sendiri mesti ada satu visi jelas yang lebih difahami dan bukan kenyataan manis dari bibir pemimpin semata-mata.
Siapa warlord
Warlord juga dikatakan punca UMNO tidak akan berubah dari takuk lama. Apa sebenarnya yang perlu dibuat jika benar mahu memansuhkan situasi warlord atau mungkin ada yang lebih mengenali dengan nama godfather?
Jika ia hendak dilenyapkan, paling penting semangat dan jiwa UMNO yang mahu berkhidmat kepada parti dengan ikhlas itu harus lahir dari jiwa setiap ahli parti.
Jika ia berjaya, UMNO akan bergerak ke satu langkah di hadapan dan budaya warlord ini akan menjadi frasa sejarah yang boleh disimpan di dalam muzium sahaja.
Apa kelebihan bakal Presiden UMNO kelak untuk menewaskan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 kelak? - Gambar hiasan
Ketahuilah, ramai orang yang berminat dengan politik sedang memerhati pergerakan UMNO hari ini.
Mereka mungkin ada minat kepada UMNO, mahu melihat reformasi parti. Sedangkan hakikatnya, reformasi UMNO ini sudah lama dibuat, malah beberapa kali dibuat, namun ia mungkin dilupakan.
Apakah ciri calon presiden yang dimahukan? Adakah perwakilan mahu melihat muka baharu seperti KJ, muka penuh kesedaran seperti Ahmad Zahid atau muka bersih seperti Ku Li?
Dapatkah UMNO balik ke cara lama yang membawa semula kegemilangan parti seperti dahulu, seperti sebelum pimpinan presiden baharu hari ini?
UMNO bangkit
Dapatkah UMNO kembali ke cara lama yang diketahui mudah memenangi hati rakyat dan pemimpin yang ikhlas menyelami hati Melayu sejak sekian lama?
Walau terpaksa bertatih semula, UMNO perlu sedar mereka harus mengambil iktibar konsep 'Malayanisation' yang diperkenalkan pada era British di negara kita satu masa dahulu.
Pada masa itu, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk negara berubah. Itu realitinya.
Dalam tempoh berkenaan pada masa itu, kita akan tahu sama ada ia berjaya atau sebaliknya, membawa Malaysia ke peringkat tertinggi.
Situasi sama berulang hari ini, PRU15 mungkin terlalu awal untuk UMNO membuktikan keikhlasan selepas tersungkur pada 9 Mei lepas.
UMNO memerlukan sekurang-kurangnya dua PRU lagi, atau 10 tahun lagi, untuk melihat keberkesanan bagi parti bangun dan sedar semula.
UMNO juga kena memikirkan pelan jangka panjang iaitu 10 tahun sekurang-kurangnya, untuk kembali ke landasan asal perjuangan dan membuang keburukan parti yang menjadi kudis serta nanah busuk pada PRU14 lepas.
Guna masa tiga tahun ini, iaitu sehingga pemilihan seterusnya pada 2021, untuk menunjukkan kad laporan UMNO sebenarnya sudah ditukar baharu dan mungkin sudah bersedia untuk menang semula pada PRU15.
Pada masa kini, apa yang boleh dibuat adalah menerima hakikat dan sedar UMNO sudah tidak lagi popular dan semakin hari semakin ditinggalkan ahli serta komponen Barisan Nasional (BN).
Kita tak tahu berapa ramai lagi pemimpin UMNO yang akan melompat parti tetapi sedarlah, pemilihan ini adalah yang paling mencabar dalam sejarah.
Rakyat menanti, penganalisis politik melihat dan sedia memberi pandangan kepada parti dari pelbagai sudut ,malahan ahli juga memantau dan melihat. Sama ada platform UMNO akan terus menjunam atau bangkit menjadi kuasa politik yang lebih baik berbanding sebelum ini.
UMNO tahu ia bukan pemilihan biasa. Ia tidak mudah dan relevan untuk semua kerana pemilihan ini menjadi tunjang atau sekurang-kurangnya langkah awal untuk kembali memerintah negara.
Semoga selepas ini UMNO kembali 'buat kerja', jangan jadikan pemilihan parti sebagai temasya bersuka ria atau lebih buruk, medan bertelagah sesama sendiri.
Fahami juga corak pemetaan pentadbiran baru UMNO selepas 30 Jun.
Baliklah kepada asas semasa kelahiran UMNO dahulu. Bukan mendabik dada, berlagak sombong, ekstremis serta seolah-olah macam elitis seperti kata Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Jangan terus duduk dalam kepincangan serta dibelenggu masalah penyelewengan yang terpalit pada pemimpinnya, seperti penjelasan Khairy Jamaluddin.
Mahupun, terus berhadapan masalah disabotaj kerana ada pemimpin di akar umbi yang berkecil hati akibat tidak terpilih sebagai calon PRU, seperti yang didakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Ahmad Zahid Hamidi #Khairy Jamaluddin #Pakatan Harapan #parti #pemilihan #PRU14 #PRU15 #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO #UMNO baharu #warlord
;