Perspektif: Menunggu tsunami Cina kembali kepada Adenan di PRN Sarawak

Wan Syamsul Amly
Mei 4, 2016 12:44 MYT
Perspektif: Tunggu tsunami Cina kembali ke BN - Gambar fail
TIDAK ada sesiapa boleh manafikan kekuatan kaum Cina terutamanya di kerusi-kerusi bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.
Walaupun ia sebenarnya mewakili 365,417 atau kira-kira 32 peratus daripada 1.13 juta pengundi berdaftar , nampak kecil tetapi memberi impak kepada keputusan akhir pengundian pada 7 Mei ini.
Faktanya, kaum Cina ini sudah beralih sokongan kepada pembangkang sejak PRN lepas dengan beberapa faktor yang sebenarnya banyak dimanipulasi pembangkang sendiri.
Isu kemajuan, isu keharmonian atau apa sahaja isu yang dibangkitkan pembangkang sebenarnya topik kitar semula yang sengaja dibangkitkan untuk mengelirukan pengundi.
Jika ada lagi yang mempertikai, kaum Cina harus menjawab dahulu apa lagi kekurangan oleh kerajaan negeri selama ini sehingga hendak merungut dan baran lantas memberikan undi kepada pembangkang.
Tidakkah mereka melihat kemajuan atau kehebatan fasiliti di bandar-bandar negeri ini sebenarnya merupakan limpahan kemajuan yang dibawa kerajaan negeri dan taktik menangguk di air keruh oleh pembangkang harus segera disedari.
Pada 2011, BN menang majoriti 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, tewas 15 kerusi kepada pakatan pembangkang, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas).
Walaupun mengekalkan kemenangan dua pertiga majoriti, undi popular yang diperolehinya merosot kepada sebanyak 7.5 peratus (daripada 62.9 peratus semasa PRN ke 9 kepada 55.4 peratus semasa PRN ke 10) sekali gus dilihat antara prestasi tidak 'cantik' BN di dalam PRN.
Gerakan Mayday
Sebanyak 15 kerusi majoriti Cina dikesan pada PRN kali ini. Ia termasuk Batu Lintang, Batu Kitang, Batu Kawah, Kota Sentosa, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Tanjung Batu, Padungan, Pending, Piasau dan Pujut.
Kemenangan Team Adenan di kawasan-kawasan ini bakal membuktikan pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sudah diterima dan akan membawa dimensi baru hala tuju kaum itu yang lebih terjamin.
Bukan Adenan tidak mencuba, dia sudah menyatakan akan menambahkan lebih ramai orang Cina di dalam Kabinetnya dan usaha itu akan direalisasikan jika undi diberi kepada BN.
Pada masa itu, tsunami Cina yang pernah berlaku akan menjadi sejarah dan teladan kepada generasi kepimpinan akan datang agar strategi memastikan keharmonian serta kepentingan kaum Cina bukan perkara yang enteng untuk dilupakan.
Bagaimanapun DAP yang dikenal pasti memulakan Gerakan Mayday pada hari-hari terakhir sebelum pengundian dilihat cubaan menakut-nakutkan masyarakat Cina Sarawak dengan pelbagai risiko sekiranya BN menang besar bagi PRN ini.
Mereka kembali memainkan isu kitar semula dan nasional yang tidak relevan seperti kenaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kemasukan UMNO ke Sarawak, ia sebenarnya hanyalah permainan persepsi yang tidak akan terjadi.
Kempen yang dimulakan Ahli Parlimen DAP Tanjong, Pulau Pinang, Ng Wei Aik yang tersebar di media sosial ini dikesan bermula di Meradong dan merebak secara senyap dipercayai melalui kumpulan WhatsApp serta khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebenarnya, DAP sudah terlalu lambat untuk 'mencuci minda' orang Cina dalam masa tiga hari terakhir kempen ini untuk mengubah apa yang sudah dua tahun dibuat Adenan kepada kaum itu sendiri.
Selain itu kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mahu menggunakan taktik menawan Pulau Pinang sebagai platform mengambil alih Sarawak merupakan impian yang terlampau mustahil untuk menjadi kenyataan.
Kit Siang sendiri harus sedar pola penduduk di kedua-dua negeri itu terlalu jauh berbeza.
Jangan nafikan kekuatan manifesto Adenan dan rayuan ikhlas ketua menteri itu untuk memberikannya kemenangan besar agar proses yang sudah direncana di dalam agenda pembangunan Sarawak tidak terbantut.
Jangan dilupakan juga frasa kaum Iban untuk berhimpun, 'Ooo-Haa' yang ditakrif Adenan 'Saya Sayang Sarawak'.
Selain 'Ooo-Haa', promosi Adenan kepada frasa 'You-You' yang membawa maksud seruan sesama sahabat atau lebih tepat membawa maksud 'tahu sama tahu' turut menjadi satu jaminan tidak ada yang akan dikecualikan.
Tanda sokongan
Lapan menteri persekutuan dari Sarawak yang terlibat dalam kempen pilihan raya negeri sebenarnya angka besar yang menjadi bukti Sarawak disayangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain kehadiran Najib ke Sarawak yang melebihi 50 kali sejak menjawat jawatan perdana menteri, mesyuarat mingguan Kabinet yang akan diadakan di Kuching pada Rabu juga tanda sokongan kepada Adenan.
Ia merupakan mesyuarat Kabinet di luar Kuala Lumpur yang diadakan selepas kali terakhir pada 2011 di Kuantan, Pahang.
Selain itu, ceramah DAP yang semakin hari semakin hambar asas kukuh impian BN boleh menjadi kenyataan.
Tentu situasi ini membangkitkan senyuman kepada parti komponen berasaskan kaum Cina dalam BN, SUPP yang sebelum ini dipinggirkan kaum Cina.
Ini masanya mereka menggunakan apa sahaja tangkal yang diberi Adenan untuk mengumpan kembali sokongan Cina dengan janji yang pasti.
Jangan ragu-ragu lagi, kaum Cina perlu melakukan tsunami pada PRN kali ini dan kembali ke landasan kemajuan, permuafakatan serta semangat manifesto yang sudah dicanang Adenan.

*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
*Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com
#adenan #BN #DAP #Lim Kim Siang #pilihan raya Sarawak #Sarawak Memilih #sarawak2016
;