Perspektif: Keajaiban Rukun Negara di sebalik kejayaan Adenan

Wan Syamsul Amly
Mei 8, 2016 11:04 MYT
Produk nasional yang dijaja pembangkang tidak mendapat tempat di hati rakyat Sarawak secara keseluruhannya yang mahu produk tempatan yang berjenama Team Adenan. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KONSEP Rukun Negara yang dibentuk pada 1970 merupakan asas melihat perpaduan kaum serta ketenteraman negara terjamin sehingga ke akhirnya.
Misinya antara lain adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat dan memelihara cara hidup demokratik.
Selain itu, ia turut mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama malahan menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
Konsepnya diadun sebegitu indah, walaupun tidak diangkat atau dipromosi sebagai pemain utama tetapi secara senyap ia menjadi tulang belakang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
BACA: Adenan Satem angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak
BACA: Diberi mandat, BN komited tunaikan hasrat rakyat Sarawak
LAPOR LANGSUNG: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 11
Milik BN
Satu demi satu keputusan PRN yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) kali ini memberi makna kekuatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tidak harus dipertikaikan lagi.
Kalau kita tengok betapa pantasnya satu demi satu keputusan yang diumum sehingga Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak diadakan, ia memberi bayangan kemajuan yang tidak akan dilengahkan lagi di negeri itu.
Namun, dalam suka kepada keputusan PRN, ingatan tidak harus dipinggir kepada mereka yang meninggalkan kita dalam insiden helikopter beberapa hari sebelum pembuangan undi.
Reaksi tenteram pembangkang yang menerima keputusan dengan penuh rasa reda mencorakkan keunikan sejarah di dalam PRN kali ini.
Saat selepas semua keputusan diumum, ramai orang serta portal memberi komentar masing-masing dengan pelbagai persoalan termasuk pengurangan peratus keluar undi namun hakikatnya ia lebih kepada pemasaran
serta promosi politik yang dibuat Adenan sendiri.
Nampak jelas, produk nasional yang dijaja pembangkang tidak mendapat tempat di hati rakyat Sarawak secara keseluruhannya yang mahu produk tempatan yang berjenama Team Adenan.
Reputasi politik
Reputasi politik yang diukur oleh rakyat juga memainkan faktor penting dalam hal ini dengan pertimbangan kekuatan ketua parti masing-masing dalam menyelesaikan isu yang dibawa masyarakat.
Dalam hal ini, BN membuat langkah bijak apabila awal-awal lagi menyelesaikan isu pertelingkahan kerusi yang jauh bezanya dengan pergaduhan PKR serta DAP sepanjang PRN berlangsung.
Maknanya mudah, reputasi baik BN akan terus kekal begini dan 'cahaya' gabungan pakatan rakyat atau harapan akan terus malap di negeri Sarawak.
Kelemahan pembangkang juga jelas apabila congak mereka yang hendak bertanding itu meleset sehingga menyebabkan 66 calon termasuk 20 bebas hilang wang pertaruhan masing-masing.
Mungkin boleh disimpulkan mereka menggunakan PRN ke-11 ini untuk mencuba produk masing-masing.
Produk yang 'dijual' di Sarawak oleh pembangkang juga belum cukup sempurna untuk rakyat di sini.
Bacaan veteran DAP, Lim Kit Siang yang meramal kekalahan parti itu di beberapa kerusi lebih awal sebelum hari pengundian mungkin boleh dijadikan pedoman.
Dalam bacaan penarafannya, Kit Siang sendiri mengaku kelemahan DAP akan menjadikan mereka tersungkur menjadi kenyataan.
Ia disusuli kenyataan penarafan Adenan yang begitu yakin BN akan menang besar dan akhirnya menjadi kenyataan.
Apa yang berlaku sekarang adalah kesan dilema Cina yang lahir selepas tsunami yang mereka sendiri cipta pada PRN 2011.
Baca perspektif dilema Cina ini dengan perhitungan yang mereka sendiri cipta mungkin terhasil akibat rasa tidak puas hati pembangkang yang tidak memberi khidmat memuaskan sepanjang lima tahun sebelum ini.
Ia juga perhitungan masyarakat Cina sendiri yang memberikan 'like' kepada Adenan walaupun jauh di dalam hati pasti mereka masih belum dapat menerima BN lagi dengan hati yang benar-benar terbuka.
Anggaplah mereka memberikan kepercayaan kepada Adenan untuk membuka jalan kepada satu kerjasama kukuh dengan mengorbankan Batu Kawa, Batu Kitang, Dudong, Repok, Meradong dan Piasau sebagai pembuka jalan usaha berkenaan.
DAP turut tewas di semua enam kerusi yang menjadi rebutannya dengan sekutunya, PKR, iaitu Batu Kitang, Mambong, Ngemah, Simanggang, Murum dan Mulu.
PKR juga tidak berjaya kali ini kerana tidak berjaya menambah sebarang kerusi kali ini, maknanya mudah, tidak ada kemajuan.
Ramuan kombinasi
Jika dibaca faktor kekalahan DAP ini sebenarnya disebabkan kelemahan strategi pilihan raya yang perlu ada pada setiap parti.
Konsep tawan dan tahan yang digunakan BN menjadi tangkal selain kombinasi calon serta parti memastikan kekuatan yang boleh 'mencairkan' hati pengundi.
Seperti kawasan Meradong dan Repok, ia bukan terlalu kuat kepada faktor parti namun lebih kepada pengaruh calon itu sendiri sekali gus boleh dibuat pengajaran kepada semua.
Situasi sama apabila DAP tersungkur walaupun mencuba strategi meletakkan calon Melayu, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang, pada masa ini faktor kerusi boleh menang dan calon boleh menang memainkan peranan masing-masing malah risiko yang harus dihadapi kepada pihak yang menawarkan pertandingan.
Apa-apapun ia ramuan pada PRN ke-12 menjelang tahun 2021 kelak malahan boleh dibuat pelajaran kepada semua parti juga.
BN dan pembangkang kini harus membuat bedah siasat dan melihat Sarawak sebagai satu latihan ujikaji politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Untuk BN, Sarawak akan tetap menjadi deposit tetap mereka.
Untuk pembangkang, kekalahan ini memberi implikasi mereka semakin dirundung malang selepas ketiadaan ikon besar lagi di dalam parti.
Kehilangan Karpal Singh pada April 2014 dalam kemalangan jalan raya selain kekalahan semasa pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan pada tahun sama merupakan tamparan yang masih belum diubati.
Tsunami Cina yang dibangga-banggakan satu masa dahulu sudah tidak boleh lagi diceritakan dengan keretakan hubungan dengan PKR serta Pas.
Persoalan juga timbul sejak niat mereka yang mahu mengurangkan majoriti BN dilaung dengan rentetan meletakkan sejumlah calon di begitu banyak kerusi.
Bagaimana mungkin DAP tidak menumpukan pengkhususan gerak kerja di kerusi tertentu jika mahu hasrat mereka menjadi realiti? Tidak apalah, kerana semuanya sudah selesai.
Kali ini bagi Adenan, angka kemenangan 72 hadiah paling manis kepadanya yang berusia 72 juga tahun ini.
Itu kejayaan amalan demokrasi, kesetiaan kepada Raja, kepada Negara, kesopanan, kedaulatan undang-undang, kesopanan, kesusilaan serta keluhuran Perlembagaan di Sarawak.
Itu juga sukses sebenar untuk 'Ooo-Haa' dan 'You-You' yang selalu diungkap Adenan selama ini kepada rakyatnya.

*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.
*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
*Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #Najib Razak #pilihan raya Sarawak #pilihanraya Sarawak #sarawak2016
;