Persidangan Agung Tahunan Bersatu pada 12 -13 November depan

Bernama
Jun 9, 2022 17:24 MYT
Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Bersatu akan diadakan dari 12 hingga 13 Nov depan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Bersatu akan diadakan dari 12 hingga 13 Nov depan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah dalam satu kenyataan hari ini berkata persidangan cawangan parti berkenaan pula ditetapkan dari 19 Ogos sehingga 18 Sept depan, persidangan bahagian (8 hingga 9 Okt) dan perhimpunan agung sayap (10 hingga 11 Nov).
Katanya keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam yang dipengerusikan oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Hamzah Mesyuarat MPT juga memutuskan urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.
"MPT juga sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu," katanya.
Sementara itu, Bersatu meminta kerajaan mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi.
Menurut Hamzah bagi Bersatu parti itu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan Bersatu termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan.
-- BERNAMA
#Persidangan Agung Tahunan #Bersatu #Hamzah Zainudin #November #Muhyiddin Yassin
;