Persempadanan semula: Pembangkang tidak reti bersabar - Azalina
Rahimah Abdullah
Oktober 18, 2016 15:07 MYT
Oktober 18, 2016 15:07 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menyifatkan pembangkang sebagai tidak cukup sabar dalam berdepan isu persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada masa sama tegasnya, pembangkang sengaja mewujudkan ketidakpuasan hati walaupun hakikatnya mereka tidak cuba untuk memahami penjelasan dibuat suruhanjaya itu.
"Terdapat 836 bantahan oleh mereka yang disenaraikan. Memang pembangkang ini double standard, kalau SPR ini tidak adil dan tidak saksama takkan mereka boleh memerintah Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Ini masalah, dia tidak faham," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di sini hari ini.
Ia juga katanya membuktikan sikap pembangkang yang sebenar.
"Kalau masa pun dia tidak faham macam mana dia nak baca perlembagaan. Tunggu lah SPR panggil. Belum apa-apa dia dah lari dulu," tegas beliau.
Azalina berkata proses persempadanan semula dilaksanakan berlandaskan prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan berdasarkan yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Jadual Ketiga Belas.
SPR juga mempunyai kuasa untuk menjalankan Siasatan Tempatan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 semasa mengendalikan Siasatan Tempatan selaras dengan peruntukan Seksyen 6, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan SPR berjumpa dengan pembantah bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
Sekiranya tindakan SPR didapati adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip persempadanan, pihak-pihak yang berkaitan berpeluang untuk membuat cadangan untuk pertimbangan SPR.