Persempadanan semula bukan untuk beri kelebihan mana-mana parti - Annuar

Bernama
September 30, 2016 23:13 MYT
Annuar: Semua parti politik termasuk UMNO boleh mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan. - Gambar fail
Cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat atas faktor tertentu dan bukan untuk memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata berdasarkan pengalaman lalu, SPR melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya disebabkan faktor yang telah diambil kira termasuk geopolitik, komposisi kaum dan lain-lain hal pentadbiran.
Malah, katanya, semua parti politik termasuk UMNO boleh mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
"Oleh itu, apa-apa yang memberi kelebihan kepada UMNO mungkin "secara kebetulan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata menilai persempadanan semula sama ada memberi keuntungan atau kerugian kepada sesetengah parti politik adalah prejudis kerana undi di satu-satu kawasan dipengaruhi oleh sikap pengundi, calon dan lain-lain.
Katanya setiap parti politik dan individu mempunyai pandangan tersendiri dan SPR perlu mengambil kira pandangan berkenaan.
"Kami telah memutuskan bahawa semua ketua perhubungan negeri menyelaras dan mengemukakan pandangan berhubung cadangan SPR itu. Sebagai parti politik, kami dibenarkan di bawah undang-undang untuk memberi pandangan," katanya.
Mengulas mengenai cadangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik semalam, Annuar berkata telah tiba masanya akta tersebut digubal.
Menurutnya, ia bagi memastikan dana yang diterima oleh parti politik datang dari saluran sah dan tidak mendatangkan keraguan pada mana-mana pihak.
Katanya sumbangan dari luar boleh dibenarkan asalkan ia datang dari sumber sah dan tidak memudaratkan dan oleh itu, semua pihak termasuk pembangkang perlu menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya apabila ia diluluskan nanti.
"Jika sumber itu tidak terkawal ia mungkin boleh menyebabkan urusan dalaman politik boleh diganggu dan ia tidak boleh dibenarkan, tetapi jika ia datang dari sumber yang sah bagi saya secara peribadi, ia boleh dicadangkan," katanya.
#akta sumbangan dan perbelanjaan politik #Annuar Musa #SPR #UMNO