Perselisihan tidak gambarkan seluruh situasi gabungan dalam Kerajaan - Loke

Astro Awani
November 10, 2024 17:35 MYT
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dalam mana-mana gabungan dan kerjasama politik, pasti wujud perselisihan antara individu.- Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dalam mana-mana gabungan dan kerjasama politik, pasti wujud perselisihan antara individu tertentu.
Beliau menegaskan, perselisihan itu bagaimanapun cuma membabitkan individu dalam parti, bukannya menggambarkan keseluruhan situasi kerjasama antara gabungan dalam kerajaan.
"Itu di peringkat individu, mana-mana perselisihan antara individu itu tidak boleh menjejaskan kerjasama di peringkat kerajaan. Jadi bagi saya, itu isu peribadi antara individu pemimpin itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pada Ahad.
Loke menjawab soalan media berhubung 'perang mulut' antara segelintir pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Loke berkata DAP berdepan pengalaman sama ketika menyertai semua gabungan sebelum ini.
"Dulu kita dalam Pakatan Rakyat pun sama, dalam Barisan Alternatif pun sama, mana satu gabungan yang tidak gaduh? Barisan Nasional dah berpuluh tahun antara UMNO dengan MCA gaduh juga. Ini sesuatu kebiasaan dalam politik.
"Memang ada individu-individu yang ada isu sendiri. Kita lihat kepada keseluruhan, bukan lihat kepada mana-mana satu individu," katanya.
#Kerajaan Perpaduan #UMNO #Anthony Loke #DAP
;