Perpecahan undi Melayu semakin ketara - Khairy
Ridauddin Daud
Jun 13, 2023 19:31 MYT
Jun 13, 2023 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Perpecahan undi dalam kalangan orang Melayu semakin ketara dalam arena politik tanah air masa kini.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, jika dulu undi orang Melayu mungkin boleh dibahagikan kepada 70 peratus untuk UMNO dan 30 peratus untuk Pas.
Namun, katanya, situasi sekarang sudah jauh berubah.
“Nak kata daripada dulu orang Melayu bulat-bulat beri undi kepada UMNO atau satu parti adalah tidak benar.
“Tapi apa yang membimbangkan sekarang, untuk orang Melayu, mungkin perpecahan itu lebih ketara.
“Tapi sekarang begitu dahsyat. 50 peratus untuk PN (Perikatan Nasional), 30 peratus kepada UMNO dan lebih 10 peratus kepada PH (Pakatan Harapan) berdasarkan undi pada pilihan raya lepas.
“Itu menimbulkan tanda tanya, pertama, perpecahan itu lebih ketara. Kedua, dalam keadaan di mana undi orang Cina hampir 100 peratus pergi kepada satu parti,” katanya.
Menurutnya, situasi itu berbeza dengan undi orang Cina yang dilihat lebih memihak kepada satu parti.
“Saya bukan nak timbulkan teori konspirasi, sebahagian besar pengundi Cina beri undi kepada DAP. Saya tak terpengaruh dengan itu.
“Tapi secara kebetulan kelemahan MCA dan parti Cina yang lain, buatkan pengundi Cina tiada pilihan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan podcast “Keluar Sekejap” yang disiarkan secara dalam talian pada Selasa.