Perpecahan dalaman boleh lemahkan PBB - Uggah

Bernama
Disember 1, 2024 22:38 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keperluan untuk semua ahli parti berkenaan supaya bersatu semakin mendesak. - Gambar fail
SERIAN: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh membenarkan wujudnya perpecahan dalaman yang boleh melemahkan parti.
Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keperluan untuk semua ahli parti berkenaan supaya bersatu semakin mendesak selepas Sarawak berdepan peningkatan perhatian terhadap pencapaian dan tuntutannya.
"Apabila perpecahan berlaku, ia menandakan permulaan kejatuhan parti. Kita perlu mengelak dengan apa jua cara sekalipun, terutama pada masa ini, kerana ramai yang iri hati dengan apa yang telah dikecapi oleh Sarawak dan apa yang kita terus tuntut di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963)," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat PBB Cawangan Balai Ringin di sini hari ini.
Beliau berkata semua ahli parti itu perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha beliau untuk mempertahankan hak negeri itu termasuk yang berkaitan dengan pelantar benua Sarawak yang termaktub dalam MA63.
"Premier dengan jelas menyatakan bahawa hak-hak Sarawak tidak boleh dicabuli. PBB perlu menjadi peneraju dalam menggerakkan sokongan untuk mempertahankan hak-hak ini," katanya.
Uggah berkata semua cawangan PBB boleh memberi sumbangan dalam memperkukuh pendirian Sarawak untuk mempertahankan haknya dengan menjadikannya sebagai resolusi utama dalam konvensyen parti yang akan diadakan pada Februari depan.
Sementara itu, beliau turut menyeru agar cawangan-cawangan parti itu mengemukakan resolusi yang mencerminkan keperluan dan aspirasi sebenar mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
"Kita memiliki pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kementerian-kementerian yang berkaitan untuk mendengar suara anda semua di konvensyen nanti," katanya.
-- BERNAMA
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB #politik #GPS #Sarawak
;