Permuafakatan: Perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan jamin prinsip Perlembagaan
Bernama
Disember 16, 2022 19:59 MYT
Disember 16, 2022 19:59 MYT
PUTRAJAYA: Empat prinsip dalam Perlembagaan menjadi antara perkara utama yang disepakati dalam Perjanjian Persefahaman Antara Gabungan Kerajaan Perpaduan yang dimeterai hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata segala kekhuatiran mengenai agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan Institusi Diraja diambil kira dalam perjanjian tersebut.
"Bagi BN (Barisan Nasional), permuafakatan ini diterjemahkan dalam bentuk persefahaman setelah satu proses artikulasi terhadap hal yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi persetujuan bersama," kata Pengerusi BN itu selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan.
Lima gabungan parti politik utama - Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil.
Perjanjian itu dimeterai oleh Setiausaha Agung parti politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS), Datuk Masidi Manjun (GRS) dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, dengan disaksikan semua pengerusi gabungan politik itu.
Lima pengerusi gabungan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, Ahmad Zahid (BN), Tan Sri Abang Johari Tun Openg (GPS), Datuk Seri Hajiji Noor (GRS) dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menandatangani perjanjian itu, yang disaksikan setiausaha agung gabungan terbabit.
Sementara itu, Abang Johari, yang juga Premier Sarawak, berkata kestabilan kerajaan menjadi keutamaan dalam perjanjian itu dan yakin Perdana Menteri akan membantu Sarawak dalam menyelesaikan masalah terutama pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.
Parti-parti Sarawak menerima pendekatan ini. Kestabilan Malaysia adalah keutamaan kami...oleh itu Anwar sebagai PM, beri pandangan secara kolektif bagi pihak kami, kami percaya dia, untuk meneruskan agenda pembangunan.
"Tahun depan, ekonomi kita tidak akan begitu baik, kita memerlukan semua usaha ini untuk membantu Malaysia mendapatkan semula kedudukannya dalam ekonomi," katanya.
Sementara itu, Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, menyifatkan perjanjian itu sebagai detik istimewa negara dan 'Negeri Di Bawah Bayu' itu amat memerlukan suasana stabil dan perpaduan yang kukuh.
"Terutama dalam aspek ekonomi dan juga pembangunan di Sabah, sebuah negeri yang agak besar, dan inilah matlamat kita dan saya yakin Kerajaan Perpaduan yang dipimpin PM akan menjadi satu kerajaan yang kuat dan kerajaan yang diharapkan pelbagai kaum," katanya.
Mohd Shafie pula berkata perjanjian tersebut dapat memantapkan susasana politik dalam negara.
"Bila ada kestabilan, saya pasti ekonomi juga akan turut stabil.
"Salah satu perkara dalam kandungan perjanjian ini ialah Perkara 9 iaitu semangat MA63 (Perjanjian Malaysia), tersirat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan," katanya.
-- BERNAMA