Permohonan sebagai pemerhati dibuka bermula hari ini - SPR

Bernama
Jun 15, 2023 11:50 MYT
Pada PRU15, enam negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Permohonan sebagai pemerhati bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15), dibuka bermula hari ini sehingga 7 Julai depan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRU DUN Ke-15 akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses pilihan raya seperti penamaan calon, berkempen, pengundian awal, pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan
"Pemohon perlu melayari portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang permohonan," katanya.
Pada PRU15, enam negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.
Namun menurut laporan media sebelum ini, pemimpin keenam-enam negeri mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai untuk berbuat demikian ialah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak.
Setakat ini, Pulau Pinang bercadang membubarkan DUN pada 28 Jun, Kelantan pada 22 Jun manakala Negeri Sembilan pula dijangka 30 Jun ini.
-- BERNAMA
#SPR #PRN #pemerhati pilihan raya #tarikh permohonan dibuka
;