Permohonan Salleh Said Keruak belum diputuskan PKR - Anwar

Astro Awani
Oktober 26, 2019 13:36 MYT
Mengulas saranan PAS supaya kerajaan mengharamkan DAP, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, parti Islam itu masih membawa pemikiran lama. - Gambar fail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum memutuskan sama ada mahu menerima atau tidak permohonan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mahu menyertai parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biro politik parti berkenaan berpendapat, pandangan pimpinan di peringkat cabang dan negeri Sabah perlu diperoleh terlebih dahulu mengenai hasrat bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.
"“Belum dibawa (untuk kelulusan). Kita (PKR) bincang tapi kita selalu tanya cabang, negeri, ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan tetapi kita dengar semua,” katanya selepas menyampaikan ucaptama merasmikan Ijtimak Harakiy kali keenam Seminar Bangsa Malaysia di Kajang pada Sabtu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan Salleh untuk menyertai PKR akan ditentukan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR pada 18 Oktober.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, permohonan keanggotaan Salleh diterima dalam talian dan akan dibahas oleh biro tersebut sebelum keputusan muktamad dibuat mengenai status permohonan bekas bendahari Umno itu.
Namun, sehingga kini belum ada kata putus mengenai permohonan tersebut.
Sementara itu, mengulas saranan PAS supaya kerajaan mengharamkan DAP, Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata parti Islam itu masih membawa pemikiran lama.
“Saya fikir PAS masih bawa pemikiran lama, suruh haram.. itu politik lama.
"Sekarang kalau mula ajar kerajaan ada kuasa haramkan parti itu bahaya, bahaya untuk PAS juga. Jadi, jangan,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pada Jumaat menyarankan agar kerajaan mengharamkan DAP dengan antara lain memetik penahanan dua Adun DAP dalam siasatan berhubung kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai "bukti".
BACA: Penyertaan Salleh Keruak dalam PKR bimbangkan pemimpin, ahli
#Anwar Ibrahim #Biro Politik PKR #Parti Keadilan Rakyat #PKR #Salleh Said Keruak #UMNO
;