Permohonan Pejuang sertai PN akan dibincang dalam mesyuarat - Abdul Hadi
Sinar Harian
Mac 4, 2023 16:34 MYT
Mac 4, 2023 16:34 MYT
MARANG: Permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu tidak lama lagi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan mana-mana pihak dalam gabungan itu perlu dibincangkan secara kolektif supaya keputusan terbaik dapat dicapai.
“Saya ada menerima surat dari Pejuang mengenai permohonan untuk menyertai PN, kita akan bincang perkara ini dalam mesyuarat.
“(Tarikh mesyuarat) kita belum terima lagi dari setiausaha parti,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutup Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di sini pada Sabtu.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dan Ahli Parlimen Marang turut menyifatkan permohonan tersebut sebagai perkembangan positif buat PN.
“Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” katanya.
Pejuang sebelum ini memaklumkan telah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selain salinan turut diserahkan kepada Abdul Hadi dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Menurutnya, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan telah disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang kelmarin selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada.